BERITA
Selepas Didakwa Tumbuk Pemandu Wanita, Anggota Tentera Hadapi Tuduhan Rosakkan Kereta Pula
Anggota tentera yang sebelum didakwa mengasari seorang pemandu wanita, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat terhadap kenderaan mangsa terbabit.
Tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat terhadap harta benda dengan cara merosakkan pintu depan kereta milik seorang wanita berusia 28 tahun.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 10.20 malam di Taman Satria, Senawang, Seremban, 29 Mac lalu.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, menawarkan jaminan RM8,000 oleh seorang penjamin.
Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman, memohon jaminan minimum terhadap tertuduh yang menanggung dua anak manakala isterinya yang tidak bekerja.
Majistret kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan semula kes itu.
Pada Isnin lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah ketika didakwa di mahkamah sama, atas pertuduhan menumbuk pemilik kereta terbabit.
Media sebelum ini melaporkan tular satu klip video memaparkan seorang pemandu kereta wanita diserang seorang lelaki dekat Taipan Senawang.
Kejadian dipercayai berpunca selepas lelaki itu berang kerana mendakwa anaknya dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Axia berkenaan ketika melintas jalan.
Susulan kejadian itu, lelaki terbabit ditahan oleh Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian