BOLLYWOOD
Selepas Empat Tahun Menduda, Aamir Khan Kembali Dilamun Cinta
Pelakon terkenal Bollywood, Aamir Khan sekali lagi telah menemui cinta baharu selepas empat tahun menduda.
Bintang 3 Idiot itu dikhabarkan sedang dilamun cinta bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Gauri dari Bengaluru.
Memetik laporan PinkVilla, Aamir difahamkan sudah memperkenalkan Gauri kepada keluarganya dan pertemuan tersebut berlangsung dengan baik sekali.
Pada masa sama, Gauri juga dikhabarkan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan industri Bollywood.
Meskipun belum mengeluarkan kenyataan rasmi, berita ini tetap mengejutkan peminat aktor yang berusia 60 tahun itu.
Usaha media untuk mendapatkan komen daripada jurucakap Aamir juga tidak membuahkan hasil.
Untuk rekod, Aamir Khan pernah berkahwin dengan Reena Dutta pada tahun 1986 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak, Junaid Khan dan Ira Khan.
Bagaimanapun, pasangan ini bercerai pada Disember 2002 selepas 16 tahun bersama.
Pada tahun 2005, Aamir mendirikan rumah tangga dengan pembikin filem, Kiran Rao, dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Azad Rao Khan, pada tahun 2011.
Namun, pada tahun 2021, Aamir dan Kiran mengumumkan perpisahan mereka secara rasmi.