Hiburan
Selepas Empat Tahun Tak Berlakon, Shin Won Ho Menangis Dapat Watak Tae Oh
Pelakon drama Legend of The Blue Sea (LOTBS), Shin Won Ho akui tidak dapat menahan sebak sebaik saja ditawarkan untuk berlakon watak Tae Oh.
Menurut Shin Won Ho, Legend of The Blue Sea merupakan drama pertamanya selepas menyepi selama empat tahun daripada dunia seni.
“Kali terakhir saya berlakon adalah pada tahun 2012 menerusi drama Big di saluran KBS dan boleh dikatakan LOTBS ini merupakan ‘comeback’ saya.
“Selepas Big, saya ada menerima banyak tawaran tetapi saya memohon kepada agensi untuk benarkan saya berehat.
“Saya terlalu berkerja keras ketika berlakon drama tersebut dan merasakan diri saya masih belum cukup bagus untuk menjadi seorang pelakon.
“Sepanjang tempoh empat tahun ini, saya mengambil inisiatif dengan memasuki kelas lakonan sebelum bersiap sedia untuk kembali ke dunia seni.
“Sebab itu selepas sesi ujibakat terakhir untuk LOTBS dan mendapat tahu saya diterima untuk melakonkan watak Tae Oh, secara jujurnya saya tidak dapat mengawal perasaan dan terus menangis.
“Kerana saya teringat kembali segala usaha yang dilakukan untuk menjadi seorang pelakon dan ia bukanlah perkara mudah,” jelasnya.
Tambah Won Ho lagi, walaupun belum berpuas hati dengan lakonannya namun dia tetap berterima kasih kepada penonton yang menyukai watak Tae Oh.
“Kalau ditanya mengenai tahap lakonan, memang saya masih belum puas hati. Saya berjanji akan bekerja dengan lebih keras untuk menjadi pelakon yang baik.
“Saya mahu jadi seorang pelakon yang mampu membuatkan penonton merasai emosi watak yang dilakonkan dan tidak kekok melihat lakonan saya di Televisyen.
“Terima kasih kepada pihak produksi yang memberi memberi peluang kepada saya dan juga penonton yang menyukai Tae Oh.
“Disebabkan sokongan penonton terhadap Tae Oh jugalah yang membuatkan saya mampu kembalikan keyakinan untuk berlakon.
“Rasa sangat gembira dapat kembali berlakon selepas empat tahun dan saya berjanji tidak akan menyepi lagi,” katanya.
Olahan oleh: Mya Amri
Sumber : Soompi