Penyanyi Elyana meluahkan rasa bimbang selepas mendapat tahu mengenai adik lelakinya, Eizad Ezmeer pula disahkan positif Covid-19.

Ibu Elyana, Shamsidar Alias disahkan positif Covid-19 pada 16 Ogos lalu, belum pulih daripada virus berbahaya itu.

Elyana, 34, menerusi hantaran di Instagram (IG) turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan ibu dan adiknya agar cepat pulih dari virus berkenaan.

"Belum lagi mama saya sembuh, hari ini (semalam) adik lelaki kesayangan saya pula disahkan positif Covid-19.

"Minta sangat rakan-rakan semua mendoakan kesembuhan adik saya, Eizad Ezmeer Emrizal dan mama Shamsidar Alias," katanya.

Pada masa sama, penyanyi lagu Kalis Rindu itu turut melahirkan kebimbangan terhadap bapanya dan berharap agar tidak dijangkiti.

"Dan semoga papa saya yang tinggal serumah dengan mereka tidak dijangkiti. Saya risau sebab papa baru dapat satu dos vaksin.

A post shared by elyanaofficial (@elyanaofficial1)


Terdahulu, Elyana melahirkan perasaan syukur apabila hanya ibunya yang positif Covid-19 manakala bapa dan adik lelaki sebelum ini dilaporkan negatif.

Elyana turut memberitahu ibunya kini menjalani kuarantin kendiri di Shah Alam dan sayangnya tidak dapat banyak membantu keluarganya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.