"Selepas Ini, Kami Mahu Move On" - Fazley Yaakob

Kamaruddin Razal
Disember 4, 2018 14:50 MYT
Cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Datin Azrene Ahmad mahu membuka lembaran baru dalam kehidupan mereka.
Menganggap persandingan kali kedua selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga sebagai satu permulaan, Fazley mahu mencipta kenangan manis baru bersama keluarganya.
"Saya menganggap persandingan kali kedua ini sebagai satu petanda untuk saya dan keluarga memulakan babak baru dalam kehidupan.
"Terlalu banyak yang pahit kami tempuhi semenjak kami bernikah. Namun begitu, hubungan kami suami isteri bersama keluarga juga semakin teguh.
"Selepas ini, kami mahu 'move on'. Kami mahu mencipta memori bahagia baru bersama keluarga dan anak-anak," kata Fazley.
BACA: "Sebenarnya, Isteri Saya Tak Nak Bersanding..." - Fazley Yaakob
Mengakui debaran naik pelamin masih sama seperti 13 tahun dahulu, Fazley gembira majlis persandingannya berjalan lancar.
"Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya tetap berdebar tetapi bersyukur kerana semuanya dipermudahkan.
"Hasrat arwah bapa dapat kami tunaikan dan lebih istimewa, anak-anak kami dapat menyaksikan ibu bapa mereka bersanding.
"Persandingan ini menjadi kenangan baru untuk isteri dan anak-anak. Jika 13 tahun dahulu, kisah pernikahan dan persandingan kami diperkatakan kerana air mata, kini saya berharap perkara terbabit dibuka dengan buku baru yang penuh dengan rasa kegembiraan," katanya lagi.
BACA: Tunai Hajat Arwah Bapa, Ini Foto Menarik Sekitar Majlis Persandingan Fazley & Azrene... Meriah!
Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7 dan Alayna Selma, 1.
#Penyanyi #Penyanyi #Fazley Yaakob