Selepas Jumpa Sumareh, Anak Nadiya Nisaa Iring Pasukan Harimau Malaya Ke Padang

Fiza Kamarudin
September 11, 2019 01:42 MYT
Selepas dapat bertemu dengan idolanya, pemain bola sepak Harimau Malaya Mohamadou Sumareh, anak kepada pelakon Nadiya Nisaa, Omar bin Saiful Razman diberi peluang sebagai pengiring pasukan negara.
Omar dilihat memakai jersi berwarna oren dan biru dipimpin tangan oleh penjaga gol dan kapten pasukan, Farizal Marlias ke padang bersama kanak-kanak lain di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sudah tentu, ini akan menjadi kenangan yang paling berharga dan tidak akan dilupakan buat Nadiya Nisaa dan Omar.
Malam tadi, Nadiya yang turut hadir ke perlawanan Harimau Malaya berdepan pasukan UAE dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, turut memuat naik foto Omar.
“Saya bangga dengan awak, Omar. U did great!” tulis Nadiya pada ruangan kapsyen.
Dalam perlawanan semalam, Harimau Malaya gagal meraih tiga mata apabila tewas 1-2 kepada pasukan UAE.
Gol tunggal Harimau Malaya dijaringkan Syafiq Ahmad ketika perlawanan baru bermula 45 saat.
#Anak #Nadiya Nisaa #Harimau Malaya