Hiburan
Selepas #KosongKosong, Astro Tampil Tema #BerikanMasa Ramadan Ini
Astro bakal menampilkan pelbagai program menarik sepanjang Ramadan ini bertemakan #BerikanMasa.
Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihak Astro telah menetapkan garis panduan setiap isi kandungan bersesuaian dengan sambutan bulan Ramadan Al-Mubarak.
“Kami menyediakan program-program yang berbeza mengikut kehendak penonton dan jadual mereka sepanjang bulan Ramadan.
“Sasaran kami pada bulan Ramadan ini untuk sama-sama berkongsi nilai murni atau idea-idea baru bagaimana kita dapat menjalani ibadah di bulan Ramadan.
“Contoh jika menonton drama berkaitan sambutan bulan Ramadan, terdetik di hati ada perkara-perkara yang boleh kita perbaiki,” katanya ketika majlis penayangan Program Terbaik Ramadan 2016 Astro di Grand Duchess, Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut mengenai tema #BerikanMasa, Penolong Naib Presiden Bahagian Pemasaran Melayu Astro, Azhari Ishak berkata, tema #Kosongkosong masih mejadi dasar kepada kempen Ramadan di Astro seperti sebelum ini.
“Kami merasakan #Kosongkosong masih sesuai dan relavan untuk digunakan ketika menyambut bulan Syawal.
"Fokus kami pada tahun ini ialah #BerikanMasa yang berkonsepkan umat Islam mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan sesama insan pada bulan Ramadan.
“Ianya juga memberi peluang kepada individu untuk mengingatkan diri sendiri memperbaiki amalan dan mempertingkatkan segala ibadah yang dilakukan sewaktu bulan puasa,” ujarnya.
Antara program menarik yang bakal menemui para penonton di bulan Ramadan termasuk program Salam Duha yang dikendalikan oleh Nurul Syuhada Nurul Ain, Ngaji Bersama Ustaz Don, Drama Istimewa Imam Muda Ku Romantik, Resipi Memikat Suami Musim Ketiga,Eat Clean With Anis dan i-Kids yang menyelitkan unsur fardhu ain oleh Astro Ceria.
Lebih menarik, buat pertama kali Skuad Berikan Masa bakal turut ke beberapa lokasi terpilih untuk membantu pihak berkuasa tempatan untuk membersihkan kawasan bazar selepas selesai waktu perniagaan.
Astro Gempak selaku platform digital bakal membawakan perkembangan terkini kandungan Ramadan di Astro menerusi artikel, video eksklusif seperti episod pertama drama atas talian Lebaran Akim & Stacy dan paparan pelbagai tutorial tudung menarik dan tips fesyen terkini yang bersesuaian digayakan di bulan Ramadan.