Selepas naskah ‘What’s In A Name’ laris terjual pada tahun lalu, Datuk Seri Nazir Razak muncul dengan bukunya dalam versi Bahasa Malaysia berjudul ‘Di Sebalik Nama’.

Terjemahan buku sulungnya yang mengisahkan tentang keluarganya dan bapanya yang merupakan Perdana Menteri Malaysia kedua serta kerjaya dan jiwa Malaysia itu kini sudah mula berada di pasaran.

“Versi Bahasa Inggeris telah menjadi ‘bestseller’; saya harap dengan ini ramai lagi orang dapat membaca cerita saya dan mudah-mudahan pembaca dapat manfaat daripada isi buku ini.

“Buku ini bukan sahaja menyentuh tentang kenangan saya bersama arwah ayahanda saya, Tun Razak, namun juga membincangkan warisan beliau yang tersurat dan tersirat, dan kesan dasar-dasar yang beliau perkenalkan kepada kita hari ini,” katanya.

Nazir yang juga Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia (BPMB) memberitahu buku tulisnnya itu turut mengupas isu politik wang, rasuah dan politik identity di Malaysia.

“Pengalaman saya di CIMB dan dunia korporat Malaysia juga merupakan sebahagian besar daripada kandungan dalam buku ini. Selain itu, buku ini juga memperihalkan raksasa berkepala tiga yang mencengkam negara – politik wang, rasuah, dan politik identiti - serta idea-idea menghadapinya ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih baik.

“Penulisan buku ini mencabar dan membabitkan proses mengumpul semula memori dan rekod tentang pengalaman saya yang dapat menarik minat pembaca,” ujarnya.

Buku versi bahasa Malaysia ditawarkan pada harga mesra pembaca iaitu RM49, manakala harga versi bahasa Inggeris ialah RM89.

Kedua-dua buku “Di Sebalik Nama” terbitan Alaf 21 dan “What’s in A Name” terbitan Whitefox boleh didapati di kedai-kedai buku berdekatan.