Produser filem dan usahawan jelita, Datin Furyna Azmeer membuka ruang untuk pengkarya tempatan untuk berkongsi idea atau jalan cerita untuk filem baru yang bakal dihasilkan.

Pernah menerbitkan filem Pinjamkan Hatiku pada tahun 2017 yang meraih kutipan hampir RM3.2 juta, Furyna yang merupakan usahawan produk kecantikan Aurawhite membuka peluang untuk mana-mana pihak yang mempunyai idea menarik untuk direalisasikan di layar lebar.

"Alhamdulillah, selepas Pinjamkan Hatiku yang menampilkan lakonan Shaheizy Sam dan Ayda Jebat mendapat sambutan menggalakkan, saya memang bercadang untuk menghasilkan filem seram.

"Tetapi, sehingga kini saya masih buntu dan belum mempunyai plot penceritaan yang baik dan menarik untuk diangkat sebagai filem.

"Jadi, saya alu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai idea menarik untuk dibentangkan kepada saya...

"Tak kisah sama ada pengkarya baru atau lama, jika ceritanya menarik, kita boleh bekerjasama.

"Jika ada pihak yang mempunyai pengalaman seram sebenar pun boleh berjumpa saya," kata Furyna.



Furyna ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White Sparkle Diamond Skincare dan Aura White Sparkle Diamond Collagen Travel Pack di Palace Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor semalam.

Majlis tersebut menyaksikan pelakon Ayda Jebat dan Fasha Sandha dipilih menjadi duta produk keluaran Aurawhite.

"Alhamdulillah, saya sudah lama mengenali mereka berdua sebagai selebriti. Ayda sudah lama bekerjasama dengan saya manakala sebelum ini Fasha merupakan duta ubat gigi keluaran saya.



"Sejujurnya, sangat senang untuk bekerjasama dengan mereka kerana Ayda dan Fasha sering membantu untuk mempromosikan produk keluaran saya dan mereka mempunyai karisma tersendiri," katanya lagi.