Jurukamera drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland, Ambia Ahmad kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dijangkiti Covid-19 sejak 31 Mac lalu.

Perkara itu dikongsikan rakannya, Norimy Aimi di Instagram (IG) yang memaklumkan mengenai keadaan terkini Ambia bersama tiga rakan lain yang turut disahkan positif wabak itu.

Turut positif ialah pengarah drama itu, Rahila Ali; penolong pengarah, Sue dan jurusolek Aishah.

Salah seorang pelakonnya, Puteri Aishah turut positif dan kini dirawat di HSB.

BACA: Puteri Aishah Positif Covid-19 Selepas Pulang Dari Scotland

Sementara Rahila, Sue dan Aishah kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Mereka disahkan positif Covid-19 selepas pulang dari Scotland pada 31 Mac lalu.

“Beberapa bulan lalu, Rahila, Aishah, Ambia dan saya, 'berkampung' selama dua bulan di United Kingdom dan Sepanyol untuk penggambaran Sudip Pusing Dunia. Waktu itu, wabak ini masih belum 'menyerang' dunia jadi kami pulang ke tanah air dalam keadaan sihat.

“Namun, kali ini, kerjaya mereka di luar negara memberi dugaan yang tidak terjangka ini. Saya yang #stayhome ini akan terus mendoakan kesejahteraan teman-teman seperjuangan saya ini,” katanya.

Norimy berkata, selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 31 Mac lalu, Ambia terus dibawa dengan ambulans ke HSB.

“Difahamkan sekarang Ambia beransur pulih, tapi masih dalam ICU,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Rahila ketika dihubungi mengesahkan dia sudah dimasukkan ke PPUKM semalam.

“Semalam dimasukkan ke wad. Hari ini saya mulakan rawatan,” katanya ringkas.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Rahila dan empat kru produksi drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland disahkan positif Covid-19.

Rahila berkata, dia bersama kru dan pelakon yang tiba di tanah air pada 31 Mac lalu diarahkan menjalani kuarantin diri di tempat masing-masing tanpa membabitkan orang lain atau ahli keluarga.

Turut positif penyakit itu ialah salah seorang pelakonnya, Puteri Aishah.

Rahila bersama kru seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Rahila juga terpaksa menghentikan penggambaran dan pulang selepas diarahkan berbuat sedemikian.

Selain Puteri Aishah, pelakon lain yang turut menyertai rombongan itu ialah Ashraf Muslim, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.

Sumber: Harian Metro