Selepas Muhammad Safawi Rasid disahkan tidak tersenarai untuk saingan Sukan SEA, nampaknya hasrat peminat bola sepak untuk menyaksikan pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal juga tidak kesampaian, lapor Astro Awani.

Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 21 tahun itu, yang sebelum ini ditunggu-tunggu untuk menyertai skuad negara tidak tersenarai berikutan masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.

Sebelum ini, pemain tengah setinggi 178 sentimeter yang bermain untuk Sporting Kansas City di Liga Bola Sepak Utama Amerika (MLS), tiba di Malaysia untuk menyertai persiapan menghadapi Sukan SEA 2019.

Wan Kuzain berhasrat membantu pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee, untuk memenangi semula pingat emas Sukan SEA, selepas tewas kepada Thailand pada edisi 2017.

Sebelum ini, pemerhati bola sepak negara sudahpun menerima khabar tentang penyertaan Wan Kuzain dalam sesi latihan pasukan Bawah 22 (B-22) kebangsaan.

Dalam pada itu, tujuh pemain yang tersenarai untuk menyertai saingan Sukan SEA merupakan dari skuad yang meraih pingat perak pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Mereka adalah penjaga gol, Haziq Nadzli; Syamer Kutty Abba; Akhyar Rashid; Adam Nor Azlin; Danial Amier Norhisham; Irfan Zakaria dan Syahmi Safari.

Sementara itu, dua kuota diisi oleh pemain berusia lebih 22 tahun iaitu Adam Nor, 23, dan Irfan, 24.

Sebelum ini, Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk tidak menyenaraikan Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019, Muhammad Safawi demi kebaikan penyerang muda itu.

Sumber: Astro Awani