Golongan yang telah sembuh daripada jangkitan wabak COVID-19 dikatakan mempunyai kadar antibodi yang tinggi selama enam bulan atau lebih.

Memetik laporan WebMD, kajian daripada UK Biobank itu juga mendapati, kadar antibodi yang tinggi itu menyukarkan proses jangkitan semula dalam tempoh berkenaan.

"Meskipun kami tidak pasti sepenuhnya tentang bagaimana perkara ini berkait dengan imuniti, tetapi hasil kajian menunjukkan bekas pesakit COVID-19 tidak dijangkiti semula bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan," kata ketua saintis UK Biobank, Naomi Allen.

Kajian tersebut dijalankan terhadap 1700 individu positif COVID-19 di Britain. Sebanyak 99% daripada mereka masih mempunyai antibodi dalam tempoh tiga bulan selepas itu, dan selepas enam bulan, 88% daripada mereka masih mempunyai antibodi.

Walaubagaimanapun, Allen masih menggalakkan bekas pesakit COVID-19 untuk memakai pelitup muka dan mematuhi penjarakan sosial kerana mereka masih berpotensi untuk menjangkiti orang lain.

Kajian itu juga tidak dapat memastikan bahawa antibodi selepas sembuh daripada COVID-19 yang terdahulu mampu melawan varian baru virus berkenaan yang ditemui di United Kingdom, South Africa dan Brazil.

"Saya rasa, masih terlalu awal untuk bercakap tentang tahap perlindungan itu," tambah Allen.

Sumber : WebMD
Kredit Foto : Astro AWANI