Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Selepas Setahun Menyepi, Andi Bernadee Muncul Lagi Dengan Single Terbaru, Du! Tapi Apa Maksud Du?

Hanafis Haris
21/03/2022 06:59 MYT

Selepas ‘meledak’ dengan lagu Donde dan Kasi Pagi Kais Petang, penyanyi serta pelakon Andi Bernadee muncul lagi dengan single terbaru berjudul Du.

Anda atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berkata, lagu tersebut merupakan ‘hadiah’ buat peminatnya yang hampir setahun tidak disajikan dengan karya baru daripadanya.
“Saya tak lah menyepi selepas single Kasi Pagi Kais Petang dilancarkan, saya masih lagi berkarya tetapi dalam bidang lakonan.
“Selain itu, saya juga dalam proses menyiapkan album dan setakat ini masih lagi mengumpulkan material.
“Du adalah salah satu lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut kelak,” katanya.
Jelasnya, Du merupakan hasil nukilan sepenuhnya oleh komposer asal Singapura, Alyph (Magic Potions).
Lagu Du adalah sebuah karya istimewa buat Andi yang masih mempertaruhkan genre reggaeton yang sememangnya sinonim dengan penyanyi tersebut dan ia diterbitkan oleh Warner Music Malaysia.
“Saya masih lagi menggunakan khidmat Alyph sebagai komposer untuk single terbaru ni kerana chemistry yang sudah terjalin sebelum ini.
“Beliau seolah-olah faham dengan apa yang saya mahukan dan pastinya saya ingin mencuba sesuatu yang baru, nantikan karya-karya saya yang bakal menyusul tak lama lagi,” jelas Andi.
Jelasnya, Du adalah singkatan daripada perkataan rin-Du yang menjadi signifikasi kepada ‘kerinduan yang berbalas’ yang diangkat menjadi tema lagu ini.
“Asalnya, kami bercadang nak guna judul Du Du Du tetapi dah ada yang menggunakannya terlebih dulu. Jadi nak elak kekeliruan, kami pilih Du.
“Selain itu, lagu ini juga adalah hadiah istimewa buat peminat-peminat saya yang sudah lama merin-Du-kan buah tangan terbaru dari saya,” ujar Andi lagi.
Tambahnya, video muzik Du yang diarahkan oleh pengarah terkemuka, Ghazi Maslan dan pastinya hadir dalam konsep yang berbeza dan unik,.
“Saya suka buat sesuatu yang orang lain tak pernah buat atau jarang buat, konsepnya rin-Du. Rin-Du siapa? Kenalah tonton MV Du dan anda pasti dapat jawapannya.
“Terimalah dan dengarilah Du, serta nilaikannya dengan hati terbuka. Semoga ia memberikan kepuasan buat peminat saya dan pencinta muzik tempatan.
Lagu ‘Du’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila- bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, KKBox, Deezer dan juga YouTube Music bermula 11 Mac yang lalu.



#Single #Andi #Bernadee' #Du
;