Selepas Tiga Kali Gugur, Cuba IVF, Akhirnya Jung Jeong Ah Hamil Di Usia 43 Tahun

Mya Amri
Januari 14, 2020 13:30 MYT
Pelakon Korea, Jung Jeong Ah akhirnya mendedahkan kini hamil sembilan bulan di usia 43 tahun.
Berita gembira itu dimaklumkan Jeong Ah menerusi posting di akaun Instagramnya.
Menurut Jeong Ah, ini merupakan kehamilan yang keempat selepas gugur tiga kali sebelum ini.
Dia juga merahsiakan berita gembira itu kerana khuatir peristiwa keguguran berulang dan juga pandangan masyarakat terhadap wanita yang hamil selepas usia 40 tahun.
“Saya mohon maaf kerana menyimpan berita baik ini daripada anda semua. Akhirnya saya mempunyai keberanian untuk mendedahkan mengenai kehamilan saya.
“Ini merupakan perjalanan yang panjang dan rasanya mereka yang pernah mengalami pengalaman sukar untuk hamil atau berdepan dengan keguguran pasti memahami keadaan saya.
“Selepas mencuba kaedah rawatan kesuburan persenyawaan luar rahim atau in-vitro (IVF) dan juga keguguran, rasanya saya akan menjadi seorang ibu tidak lama lagi. Saya masih lagi berhati-hati sewaktu membuat pengumuman mengenai kehamilan saya.
“Sebenarnya saya ingin sangat memberitahu seluruh dunia yang saya akan menjadi ibu sebaik sahaja mendapat tahu saya hamil namun saya rasa teragak-agak disebabkan pernah keguguran sebanyak tiga kali.
“Rasa takut perkara itu akan berulang dan sewaktu saya melalui fasa keguguran itu… Terasa seperti diri saya dihukum.
“Semestinya ada yang perasan perut semakin membesar dan mengucapkan tahniah namun perkara itu tidak menggembirakan saya. Saya sentiasa berasa risau dan takut namun sekarang saya terasa sangat diberkati.
“Tak dapat dikira berapa kali saya menangis dan berdoa. Saya juga tidak pernah sesekali berputus asa, terima kasih buat suamiku kerana sering memberikan sokongan.
“Tiba-tiba keajaiban berlaku dan saya hamil lagi. Sepanjang tempoh hamil, saya melaluo beberapa fasa yang merbahaya, keluar masuk hospital namun kini usia kehamilan sudah mencecah sembilan bulan.
“Terima kasih kepada anda yang banyak memberikan kata-kata semangat sepanjang perjalanan saya dan juga ucapan tahniah. Saya juga mendoakan anda semua,” tulisnya.
Tahniah Jeong Ah!
#Artis Korea #Jung Jeong Ah