Kumpulan K-Pop Sistar mengambil keputusan untuk berpecah bagi meneruskan karier solo masing-masing selepas tujuh tahun bersama.

Pembubaran kumpulan itu disahkan oleh syarikat pengurusan mereka, Starship Entertainment menerusi satu kenyataan rasmi baru-baru ini.

Menurut kenyataan tersebut, Sistar yang dianggotai oleh Hyorin, Bora, Soyu dan Dasom ini akan dibubarkan secara rasmi selepas album terakhir meraka yang bakal dilancarkan penghujung Mei depan.

“Hello, ini adalah Starship Entertaiment. Pertama kami ingin berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong dan meminati Sistar selama tujuh tahun sejak bermula zaman mereka debut lagi.

“Mereka secara rasminya akan mengakhiri promosi album sebagai anggota kumpulan Sistar selepas album terakhir yang dikeluarkan pada 31 Mei depan.

“Ini bukanlah satu perkara yang mudah, keputusan ini dibuat selepas pihak syarikat dan Sistar melakukan perbincangan dan kami bersetuju untuk menamatkan kumpulan tersebut.

“Pembubaran ini semenangnya agak mengecewakan namun kami percaya ini adalah jalan terbaik dan juga tanda sokongan kepada Sistar yang ingin meneruskan kerjaya yang mereka inginkan.

“Pihak syarikat dan Sistar mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sokongan yang diberikan. Terima kasih,” jelas wakil tersebut.

Dalam pada itu, menurut sumber terdekat, Hyorin dan Soyu akan meneruskan kerjaya nyanyian secara solo manakala Bora dan Dasom pula akan memberi fokus kepada dunia lakonan.

Terdahulu, Sistar memulakan kerjaya nyanyian mereka pada Julai 2010.

Sumber: Allkpop