Sukan
Selepas Tular Video Menangis, Anak Nadiya Nisaa Terkesima Dapat Jumpa Sumareh
Masih ingat video tular anak pelakon Nadiya Nisaa, Omar Saiful Razman yang menangis ketika menyaksikan perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Indonesia pada Khamis lalu?
Peminat cilik Harimau Malaya itu terkesima apabila dipertemukan dengan idolanya, Mohamadou Sumareh hari ini!
Detik-detik kegembiraan itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi akaun laman sosial, Facebook persatuan itu.
Selain dapat bersalaman, Sumareh mengakui teruja dapat berjumpa dengan Omar dan menyampaikan beberapa keping tiket bagi menyaksikan perlawanan antara Harimau Malaya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Selasa ini.
"Awak ok? Saya lihat video awak. Saya sangat gembira. Terima kasih banyak-banyak. Saya peminat awak juga, peminat-peminat saya pun minat awak juga," kata Sumareh.
Jawab Omar pula; "Semoga berjaya menentang UAE nanti."
Bukan hanya Sumareh, Omar juga berpeluang bertemu dan berbual bersama penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.
Pada Khamis lalu, Nadiya Nisaa berkongsi video debaran yang dilalui anaknya itu yang menagih kemenangan Malaysia menentang Indonesia.
Bukan itu sahaja, Nadiya turut memuat naik video pada Jumaat menunjukkan keterujaan Omar membaca berita kemenangan Malaysia dari sebuah akhbar.