Pergolakan rumah tangga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semakin meruncing selepas isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, Shah Alam pada Khamis.

Isterinya, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

"Tan Sri pun sudah keluar rumah kelamin sejak enam bulan lalu. Selepas tuntutan cerai ini saya akan memfailkan tuntutan hak jagaan dan nafkah anak saya yang berusia lapan tahun," katanya.

Beliau hadir bersama peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim dan Noorulhuda Daud mengemukakan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.

Mahkamah menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Elly Afizahwati turut mengecam tindakan individu yang menularkan rakaman video memaparkan pergaduhan mereka baru-baru ini.

Dia berkata, pergaduhan itu berlaku berikutan tidak bersetuju dengan permintaan Musa yang mahu sebahagian harta walaupun aset terbabit dibelinya sebelum berkahwin.

"Bukan saya sebar, saya pun terkejut. Apa yang pasti, rakaman itu saya hanya serahkan kepada polis semasa siasatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Saya sama sekali tidak berniat menjadikan rakaman itu tular apatah lagi menjatuhkan reputasi mana-mana pihak," ujarnya.

Mengulas berkenaan perkongsian suaminya berkenan ciri-ciri isteri derhaka, ibu kepada seorang anak itu berkata, Musa sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik terlebih dulu.

"Dia sebagai lelaki sepatutnya menunjukkan sifat dan tauladan baik kepada anak dan isteri…dia kena betulkan diri dia dulu.

"Sebelum ini saya ambil pendirian berdiam diri dan tidak membuat komen balas terhadap insiden berkenaan dan kenyataan media Tan Sri (Musa) kerana ada rundingan penyelesaian antara peguam syarie," katanya.

Terdahulu, tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan kanak-kanak dalam rakaman itu.

Susulan itu, Musa dalam satu ciapan di Twitter meminta orang ramai supaya menghormati privasi dan tidak mencampuri urusan keluarganya susulan penularan video berkenaan.

Polis mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung kejadian membabitkan Musa dan isterinya selepas rakaman video pertelingkahan itu tular.

Susulan itu Musa dilapor berkata, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baru sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun malah sudah enam bulan tidak tinggal sebumbung.

Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak.

Sumber - Harian Metro