Seorang pelajar perempuan, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, yang sebelum ini tular kerana tidak berpuas hati jenaka tentang rogol oleh seorang guru, mendakwa telah menerima ugutan daripada seorang pelajar lelaki.

Dia yang lebih dikenali sebagai Ain berkata telah menerima pesanan audio dari rakan sekelas lelaki yang kurang senang dengan tindakannya membuat kicauan mengenai guru tersebut.

Menerusi audio yang dimuat naik Ain di laman sosial Twitter, pelajar lelaki tersebut berkata gurauan guru lelaki itu sepatutnya tidak diperbesarkan dan boleh diselesaikan secara dalaman di sekolah.

“Budak-budak sini yang sebelum ni pun kena macam tu tak heboh pun. Tak heboh kat Twitter pun. Tak cakap benda-benda macam ni pun.

“Sumpah bodoh budak ni. Kalau aku dapat aku sagat-sagat dia. Tak pun aku rogol, hantar kat Thailand," kata individu dalam audio berkenaan.

Sehubungan itu Ain telah membuat satu lagi laporan polis mengenai ugutan diterima daripada pelajar yang dipercayai teman sekelasnya.
Pada Sabtu lalu, Ain mendedahkan guru pendidikan jasmani dan kesihatannya membuat jenaka rogol yang antara lain dikatakan menyebut "nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, korang rogol yang atas 18."

Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan kerana berasakan pendekatan guru tersebut tidak wajar sebelum menambah satu lagi laporan polis semalam.

Difahamkan, kertas siasatan telah dibuka dan kenyataan pihak yang terlibat sudah diambil.