Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Selepas Umum Bercerai, Ada Lelaki Yang Cuba Mendekati Nikki Palikat, Tetapi…

Izwan Isa
17/08/2022 05:50 MYT
Selepas pendedahan perpisahan dengan suaminya Audi Mok dibuat pada Jun lalu, penyanyi Nikki Palikat memberitahu ada dalam kalangan lelaki yang cuba untuk mendekatinya.

Begitupun, peserta Gegar Vaganza 8 itu memberitahu, dia masih lagi belum membuka hatinya untuk berkenal rapat dengan seseorang, apatah lagi menerima kehadiran lelaki sebagai peneman hidup baharu.

“Ada juga yang cuba untuk ‘mengurat’ tapi bagi saya, hati ini belum terbuka untuk berpasangan semula. Mungkin belum sampai waktunya.

“Sebab saya sekarang sibuk untuk menguruskan anak yang sudah pun memasuki fasa sekolah menengah. Jadi, masa hanya tertumpu untuknya sahaja,” katanya kepada Gempak.

Berkongsi mengenai perjalanan seninya pula, penyanyi single Sudah itu memberitahu yang dia pernah menerima tawaran untuk merakamkan lagu-lagu berentak ‘leman’ atau lagu-lagu pop balada bergenre tangkap leleh.

Bagaimanapun, Nikki lebih memilih untuk fokus terhadap muzik pop R&B yang telah diperjuangkan sejak dahulu lagi.

“Memang betul saya ada terima offer untuk rakam lagu macam itu (lagu leman). Tetapi saya rasa macam tak kena pula dengan ‘branding’ dan suara saya.

“Apa yang boleh saya katakan, hala tuju muzik saya terarah kepada muzik urban dan peminat juga sedia maklum mengenainya. Saya rasa biarlah saya melekat dengan imej dan hala tuju muzik sebegini sebab sebagai penyanyi, kita perlu tahu jiwa dan diri sendiri,” katanya.

Sebelum, Nikki pernah mengejutkan peminat apabila mengumumkan mengenai perceraiannya bersama Audi Mok menerusi sebuah program hiburan.

Menurut Nikki, perpisahan itu berlaku ketika negara berada dalam tempoh pandemik COVID-19, sebelum ini.

Pasangan tersebut berkahwin di sebuah gereja di Petaling Jaya pada Jun 2009 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Liam yang kini berusia 12 tahun.

#Bercerai #Audi Mok #Nikki Palikat
;