Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Selepas Yuna & Layla Sania…Giliran Dolla Pula di Billboard New York Times Square!

Fiza Kamarudin
22/09/2021 08:33 MYT
Selepas Yuna dan Layla Sania, kumpulan Dolla pula muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Penampilan Dolla yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal itu adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify.

Dolla juga merupakan artis Malaysia ketiga yang ditampilkan di papan iklan New York Times Square.

Terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara, dan Dolla telah dipilih sebagai muka hadapan mewakili senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura.

Teruja apabila diberitahu tentang perkara tersebut, Dolla yang terdiri daripada empat orang anggota iaitu Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel menganggap ia sebagai satu penghormatan terbesar dalam karier mereka.

“Kami tak mampu nak luahkan perasaan kami sekarang. Ia satu penghormatan yang besar buat sebuah kumpulan nyanyian seperti kami yang baru hendak bertatih.

“Kami harap kami akan dapat terus membanggakan dan menghiburkan para peminat ,” kata Sabronzo mewakili Dolla.

EQUAL merupakan program peringkat global oleh Spotify yang memperjuangkan kesamaan wanita menerusi audio, dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.

Dolla yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu mula menggegar industri muzik tempatan dengan penampilan mereka yang agak berani serta gaya persembahan mengagumkan.

Bersenjatakan gerak tari yang lincah dan gaya penampilan fesyen yang sensasi, kumpulan ini terus meraih pengikut dengan jenama muzik kontemporari yang mereka persembahkan.

Selepas menerajui carta muzik tempatan dengan single pengenalan mereka ‘Dolla Makes You Wanna’, kumpulan ini terus mencuri perhatian penggemar muzik tanah air.

Mereka kemudian melancarkan lagu, ‘Impikan’, berserta versi Bahasa Inggerisnya, ‘Watch Me Glow’, pada Oktober 2020.

‘Impikan’ berjaya mendapat satu juta tontonan di YouTube kurang daripada dua minggu dan meraih perhatian media tempatan serta antarabangsa di samping rantau Asia Tenggara dan Korea.

Mereka juga mengambil bahagian dalam sebuah lagu kerjasama anjuran ABS-CBNFilipina berjudul HEAL, sebuah kolaborasi bersama 13 artis Wanita di Asia Tenggara.

Pada tahun 2021, lagu ‘Raya Raya Raya’, meraih empat juta tontonan di YouTube.
#New York #DOLLA #Dolla BillBoard Times Square
;