Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Selesa Bersama…Selepas Gelora Rindu, Ezad Lazim & Idayu Muncul Duet Dalam Sampai Syurga Pula

Fiza Kamarudin
24/04/2020 07:35 MYT
Penyanyi Ezad Lazim dan Idayu kembali bersama selepas bersatu buat kali pertama menerusi lagu “Gelora Rindu” yang turut menjadi lagu runut bunyi drama ‘Ombak Rindu The Series’.

Terbaharu jodoh mereka bertaut kembali menerusi karya ciptaan Ayden Ali, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga berjudul Sampai Syurga.

Naskah bergenre pop balada hasil nukilan lirik gandingan dua penerbit drama, Arisz Ab Rahman dan D’Hasniza Nordin itu dirakamkan pada 3 Mac lalu di studio milik komposer Omar K yang turut bertindak sebagai penerbit lagu berkenaan.

Lebih istimewa, lagu terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd itu juga menjadi pilihan sebagai lagu runut bunyi drama 30 episod, ‘Korban Kasih’ yang akan bersiaran sepanjang bulan Ramadan ini.

Drama adaptasi novel ‘Korban Kasih’ karya Fatimah Saidin yang bersiaran di TV1 setiap hari Isning hingga Ahad jam 7.00 malam mulai 24 April ini.

Lagu Sampai Syurga meninggalkan memori dan emosi tersendiri buat pemenang tempat ke-3 Gegar Vaganza musim 2, Ezad Lazim dan juara pertandingan AF MegaStar 2017, Idayu.

“Menerusi duet terdahulu juga saya percaya pihak syarikat rakaman sudah nampak keserasian vokal kami untuk kembali diteruskan kali ini. Saya sendiri selesa berpadu suara dengan Idayu.

“Kami memulakan proses rakaman awal Mac lalu. Lagu duet baru kami ini mengenai kisah perhubungan yang sulit dan sukar untuk bahagia. Namun hanya doa kepada Tuhan yang dipanjangkan untuk mendapat kebahagiaan. Kena hayati dan selami maksud lagu ini jika ingin merasai hati yang bergelut itu”, katanya.

Sementara itu, Idayu bersyukur kerana lagu duet terbaharu mereka masih mencuri perhatian penerbit drama untuk dijadikan lagu runut bunyi. Malah Idayu atau nama sebenarnya, Nur Farah Idayu Yaakob, begitu selesa berduet dengan Ezad Lazim.

“Saya sendiri memang serasi dengan Ezad. Mudah bekerjasama dengannya, dia juga cukup menyenangkan dalam studio rakaman. Walaupun lebih senior berbanding saya, dia sangat mudah dan terbuka menerima pendapat serta bertukar idea.

“Kami memang banyak berbincang sewaktu proses rakaman sebelum mendapat kata sepakat demi menambah baik serta mencantikkan lenggok nyanyian kami dalam lagu ini,” katanya.

Single Sampai Syurga terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer mulai 24 April (hari ini).

Begitu juga dengan video lirik rasmi lagu ini yang boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada hari sama.

#Penyanyi #Ezad Lazim #Penyanyi #Idayu
;