Selesa Dengan Status Duda, Issey Fazlisham Tak Percaya Jodoh Laman Sosial

Kamaruddin Razal
Mac 17, 2019 21:23 MYT
Pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham selesa dengan status duda yang disandangnya hampir tiga tahun.
Pernah mendirikan rumah tangga dengan Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid pada 19 Mac 2015, mereka berpisah pada 21 Ogos 2016.
"Buat masa ini, saya selesa dengan status sekarang dan mahu menumpukan kerjaya terhadap bidang seni. Alhamdulillah, rezeki untuk saya berkarya masih ada dan saya tidak mahu melepaskan peluang.
"Bukannya tak mahu berkahwin, tetapi saya serahkan semua kepada ketentuan jodoh. Kini, apa yang boleh saya katakan, saya selesa menjalani kehidupan sekarang dan mahu mengukuhkan kerjaya untuk bekalan masa hadapan.
"Tipu kalau saya katakan saya tak rasa sunyi. Rakan-rakan lain mempunyai isteri dan kini ramai menimang cahaya mata. Tetapi saya tetapkan semuanya kepada takdir," kata Issey.
Tambah jejaka kelahiran Kelantan ini, dia juga tidak mahu mencari jodoh di laman sosial.
"Teknologi memang memudahkan kehidupan tetapi soal jodoh, biarlah saya ikut cara lama.
"Saya ada menerima mesej-mesej dari beberapa wanita yang ingin berkenalan menerusi laman sosial tetapi saya anggap semuanya peminat kerjaya seni saya dan tidak melayannya.
"Saya juga enggan timbul salah faham di masa akan datang, jadi biarlah ia datang sendiri menerusi perkenalan cara lama," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah 2018 Deeja Cosmetic baru-baru ini.
Bertindak sebagai pengacara, majlis terbabit turut dihadiri oleh duta produk tersebut, aktres Hanez Suraya.
Di majlis terbabit, Hanez menyampaikan hadiah seperti Perodua Axia, barang kemas, iPhone serta wang tunai kepada pengguna bertuah yang menyertai pertandingan itu.
#Penyampai radio #Issey Fazlisham