Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Selesa Jadi Duta Produk 'Mak-Mak', Rita Sosilawati; "Duit Nombor 10, Biar Orang Percaya Apa Saya Guna"

Amri Hassan
08/04/2022 05:27 MYT
Usahawan kosmetik popular, Datin Rita Sosilawati tidak menyangka dilantik menjadi duta produk barangan elektrik, ESH Electrical Sdn. Bhd. untuk kempen Ramadan dan Syawal tahun ini.

Menjelaskan penerimaannya untuk pertama kali menjadi duta produk, kata Rita pelawaan itu diterimanya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Tak disangka-sangka, siapalah saya, saya bukannya artis. Saya pun tanya juga. Katanya saya melambangkan semua wanita yang bekerjaya tapi masih lagi mampu menguruskan keluarga dan rumah tangga.

"Tak sangka pemilik syarikat ini pun pengikut Instagram saya, dia suka tengok macam mana saya guna barangan elektrik dan berkongsi resepi di media sosial saya.

"Ini menjadi satu lonjakan untuk saya, dari usahawan dan sekarang dah macam selebriti dan duta pula. Harus diakui, produk kecantikan merupakan nyawa saya, tapi bila produk elektrik approach saya sebagai duta, ia satu rezeki untuk saya.

"Sebenarnya pemilik nak bantu ramai orang tapi tak tahu caranya, bila terjumpa saya ketiak nak beli barangan elektrik. Dari situlah bermulanya," ujar Rita kepada Gempak.

Rita ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta ESH Electrical Sdn. Bhd. di Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini turut melancarkan program CSR 'Bersama Menyemarakkan Keikhlasan di Hari Raya'.

Menerusi program CSR itu, syarikat terbabit bersama Rita akan turun padang membantu 200 keluarga mangsa banjir yang memerlukan bantuan barangan elektrik untuk kegunaan harian.

"Minggu depan kami akan agihkan barangan elektrik yang dijanjikan, mereka yang minta barangan keperluan seperti dapur gas, periuk nasi. Kita bagi apa yang mereka perlukan, bukan apa yang kita nak bagi.

"Ada 200 keluarga tersenarai, mereka tahu apa yang mereka nak. Kita akan teruskan selama yang boleh," tambahnya yang turut mengagihkan sumbangan barang keperluan lain seperti beras, gula, tepung dan bekalan makanan.

A post shared by Erni Dekritawati Yuliana (@rita_sosilawati)


Sementara itu, Rita memberitahu beliau kini bersedia untuk 'dipinang' menjadi duta produk lain sekiranya tidak mengganggu tugasan hariannya.

"Saya lebih fokus pada produk mak-mak sebab saya menggunakannya setiap hari. Saya tak suka buat benda yang bukan dalam kepakaran atau minat saya.

"Saya nak mempromosikan produk yang saya dan anak-anak pakai. Biar orang percaya. Tak naklah promote sebab nak duit jer sebab duit itu jatuh nombor 10.

"Insya-Allah saya sedia dipinang tapi ikut masa dan kelapangan saya. Tak naklah main ambil saja, kalau komitmen kena 100 peratus.

"Itu reputasi saya, orang kenal saya sebagai Rita Sosilawati dan nak kekalkan nama bersih saya. Sebab saya tahu nak bina nama susah, tapi nak jatuhkan sekelip mata," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, selain mengusahakan produk kosmetik miliknya, Rita turut aktif memasarkan bisnes tas tangan miliknya serta restoran yang baru mula beroperasi sejak tahun lalu.

Terbaharu, anak kepada Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya itu juga dilantik sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah termuda di salah sebuah syarikat GLC terbesar di Malaysia.

#Duta #Produk #Rita Sosilawati #CSR #ESH Electrical
;