Selepas Beauty and the Beast, nasib filem Power Rangers untuk mendapat kelulusan tayangan di pawagam tempatan mula dipertikaikan.

Filem yang akan membuka panggung tayangan tiga hari lagi itu dikatakan turut mengandungi elemen homoseksual dalam salah satu watak utamanya.

Menurut laporan media antarabangsa menerusi temubual bersama pengarahnya, Dean Israelite, watak Ranger Kuning bernama Trini mengundang perdebatan berhubung masalah psikologikal dan isu orientasi seksualnya.

"Apa yang hebat tentang babak itu dan apa yang menggerakkan keseluruhan filem adalah penggunaan perkataan 'That's OK'.

"Filem ini mengiyakan pilihan individual kanak-kanak untuk menjadi diri sendiri dan memilih haluan masing-masing," katanya.



Dalam salah satu babak dalam filem itu, watak Trini lakonan Becky Gomez disangka berdepan masalah perhubungan dengan teman lelaki yang hakikatnya berpunca daripada hubungan sesama jantina (lesbian).

Trini mempersoalkan pegangan dirinya dan 'apa' sebenarnya kemahuan dirinya. Tambah Dean, babak itu memang disengajakan pembikinan untuk mempertontonkan kepada remaja bahawa perbuatan ini tidak salah, itu tidak salah, ini OK, itu OK.

Sementara itu, menurut laporan Cinema Blend, watak asal Ranger Kuning (lakonan Thuy Trang) daripada rancangan televisyen tahun 1990-an, Mighty Morphin Power Rangers, sebenarnya heteroseksual.

Filem Power Rangers akan menjadi filem pertama dalam sejarah filem adiwira yang memaparkan watak protagonis yang homoseksual dan ia merupakan filem kedua tahun ini menyelitkan watak homoseksual selepas Beauty and the Beast.

Biarpun berdepan kontroversi, filem remake terbitan Disney itu telah mencapai kutipan sebanyak $170 juta USD (RM752 juta) pada minggu pertama ditayangkan.



Dalam perkembangan sama, tanda tanya mengenai kelulusan tayangan filem itu di Malaysia mulai tercetus dalam kalangan peminat kumpulan adiwira itu sejak malam tadi.

Rata-rata memberikan reaksi khuatir filem itu akan berdepan nasib sama seperti Beauty and the Beast.











Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: The Hollywood Porter