VIRAL

Selongkar Sampah Lebih Sejam, Cari Penahan Gigi RM650 - "Pada Awal Saya Menangis Sebab..."

Gempak 12/08/2025 | 12:48 MYT
Seorang remaja perempuan nekad menyelongkar plastik sampah yang dipenuhi sisa makanan di sebuah restoran demi mencari penahan gigi (retainer) miliknya.

Shaza Nayli Mohd Sazli, 17, berkata, dia menyedari kehilangan alat tersebut selepas pulang ke kediamannya sebelum mengambil keputusan berpatah balik ke restoran terbabit.

“Sebelum makan, saya membuka penahan gigi dan membalutnya dengan tisu kerana lupa membawa bekas untuk menyimpannya.

“Habis makan, saya terus pulang dan terlupa tentang penahan gigi tersebut. Hanya teringat mengenainya sejam selepas sampai di rumah.

“Apabila sedar penahan gigi itu hilang, saya memang cuak dan terpaksa menebalkan muka meminta tolong dengan abang-abang pekerja di sana,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ujar Shaza Nayli yang berasal dari Ampang, dia mengambil masa lebih sejam untuk mencari alatan berkenaan dengan bantuan pekerja kedai makan tersebut.

Menurutnya, penahan gigi miliknya bernilai RM650 untuk bahagian atas dan bawah.

“Pada awal mencari memang menangis dahulu kerana bimbang, tetapi selepas jumpa barulah lega.

“Mulanya saya mencari di tong sampah dalam kedai, kemudian baru pergi ke bahagian belakang. Semua sampah itu masih baru dan belum berbau lagi, sebab itu saya tidak geli,” ujarnya.

Kata Shaza Nayli, ini bukan kali pertama dia kehilangan penahan gigi ketika menjamu selera.

“Sebelum ini, pernah juga hilang di kedai makan tetapi sempat diselamatkan kerana pemilik kedai belum mengemas meja.

“Kejadian terbaru ini melibatkan penahan gigi kedua saya yang baru dipakai tidak sampai dua bulan, sebab itu saya gigih mencarinya,” katanya.

Hantaran video TikTok milik @shzanyli berjaya meraih sebanyak 8.5 juta tontonan dan mendapat lebih 239,000 tanda suka di platform tersebut.

Sumber: Sinar Harian
#Viral #Gigi #Remaja #Sampah #Retainer #Selongkar