Hiburan
Seluar Koyak Yusry, Air Mata Edry & Kasut Melayang Norman; Konsert Gergasi KRU Fantastik!
Seia dengan gelaran 'gergasi', konsert kumpulan trio adik-beradik KRU membingkiskan buah tangan terbaik buat peminat sebelum menoktahkan perjalanan 25 tahun dalam legasi seni.
KRU, menerusi Konsert Gergasi KRU25 di Panggung Sari, Istana Budaya malam tadi berjaya menyihir peminat setia mereka.
Mana tidaknya, seisi panggung bersorak bagai meraikan kegemilangan muzik ciptaan dan lantunan Norman, Edry dan Yusry itu.
Menghadiahkan lebih 15 buah lagu daripada 13 album studio sepanjang suku abad, ada antara peminat mereka menangis! Mungkin secara kasarnya enggan melepaskan KRU bubar.
Apapun, Konsert Gergasi KRU25 antara persembahan penutup berkumpulan tempatan terbaik yang pernah dipentaskan dalam sebuah skala mega.
Jadi, apa salahnya kami kongsikan secebis kenangan KRU bersama peminat sempena Konsert Gergasi KRU25 di Istana Budaya semalam.
1. Pengumuman unik membuka panggung Istana Budaya. Lari daripada klise, juruhebah mengajak semua penonton untuk tidak duduk diam sepanjang konsert! Kelas kan?
2. The Way We Jam, Awas, Negatif, Oh La La, Hingga Ke Jannah, Apa Saja, Babe, Dekat Padamu, Di Dalam Dilema, Jangan Lafazkan dan Fanatik antara lagu yang dipersembahkan dan dilantunkan bersama audiens.
A post shared by Mazlin Rahim (@mazlyn) on
3. Beberapa lagu duet popular KRU juga diselitkan seperti Di Pintu Syurga (Elite) dan Terhangat Di Pasaran (Adam AF).
4. Set pentas yang sangat praktikal dan bombastik! Segalanya tiga; tiga set tangga pentas boleh ubah, tiga skin LED gergasi dan corak geometri segitiga barangkali metafora kepada eratnya ikatan tiga beradik KRU.
5. KRU mengimbau semula memori sepanjang 25 tahun bersama peminat dalam slide foto selingan antara segmen.
6. Selain itu, KRU turut berjenaka dan berkongsi cerita menarik sepanjang karier. Termasuklah, insiden kasut Norman tercampak ke arah peminat kanak-kanak dan keyboard Yusry jatuh pentas depan Lot 10.
7. KRU turut menghargai sumbangan Dance Crew yang menjadi penari latar mereka selama 25 tahun.
8. Kejutan demi kejutan! Ketika menukar persalinan ketiga dengan mengoyak stiker pada pakaian masing-masing, malang sekali bagi Yusry apabila bahagian tepi paha kiri seluar overallnya terkoyak sama. Terkebil-kebil Yusry menahan malu!
A post shared by Jovian Ready-To-Wear (RTW) (@jovianrtw) on
9. Edry menitiskan air mata ketika mengenangkan momen indah bersama KRU. Segmen sentimental itu turut menyentuh hati peminat yang turut sama sebak.
10. Standing ovation! Itu apresiasi terbaik semampu yang diberikan peminat sejurus Konsert Gergasi KRU25 melabuhkan tirainya.
Benar kata ramai, KRU pelopor pop culture lokal, pencetus muzik rap dan pelakar magis dalam melankolik balada.
Konsert Gergasi KRU25 masih berlangsung di Istana Budaya pada hari ini (Sabtu) hingga esok (Ahad) sebelum menutup kisah muzik buat selama-lamanya. Selamat tinggal KRU!
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @isuzu_aizu, @syahmi.muffins
Must-Watch Video