Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan seluruh operasi syarikat dalam firma apa sekalipun akan ditutup jika seorang pekerja didapati positif wabak COVID-19.

Peraturan itu dikuatkuasakan selepas penutupan satu kawasan tapak pembinaan di Jalan Ampang kerana seorang pekerja mereka didapati positif.

Kini, kerajaan mengarah setiap majikan untuk menghantar pekerja mereka terutamanya warga asing untuk menjalani pemeriksaan COVID-19.

Memetik laporan New Straits Times (NST), jika syarikat menjaga setiap daripada pekerja mereka seperti mewajibkan mereka menjalani ujian saringan, operasi syarikat tidak akan ditutup.

“Alasan kami mewajibkan pemeriksaan setiap kakitangan adalah kerana kami mahu menyelamatkan perniagaan dengan menyelamatkan pekerja,” katanya kepada NST.

Tambahnya lagi pihak majikan harus memastikan setiap pekerja mereka menjalani pemeriksaan.



“Akhirnya, majikan harus bertanggunjawab di atas semua pekerja mereka kerana tanpa pekerja, syarikat tidak dapat beroperasi kan?” tambahnya lagi.

Beliau juga berpesan agar para majikan untuk menjaga kebajikan pekerja.

“Layan pekerja anda seperti yang anda lakukan terhadap ahli keluarga anda. Suka atau tidak, kita semua harus berkorban,” kata beliau lagi.