Hiburan
Semakin Dikenali, Raja Syahiran Bersyukur Terima Peminat Baru
Peserta Dansa Dan Sing Raja Syahiran berterima kasih kepada semua peminat yang terus-menerus memberikan sokongan kepada kariernya dalam bidang seni.
Menurut Syahiran atau nama sebenarnya Raja Syahiran Raja Azhanrianshah, 27, dia menganggap peminat-peminat baru yang diterimanya sepanjang program Dansa Dan Sing ini sebagai rezeki.
“Alhamdulillah, itu semua adalah rezeki dan saya macam biasa, mahu fokus pada karier saya sendiri.
“Jadi, kalau ada peminat yang baru selepas menonton program ini, itu semua rezeki. Saya tak boleh nak paksa orang untuk suka saya.
“Saya pun tak boleh paksa orang untuk undi saya. Kalau anda rasa saya layak, lama lagilah saya berada dalam program ni,” ujar Syahiran kepada Gempak.
Raja Syahiran ditemui selepas membuat persembahan lagu Mentera Beradu pada konsert ketiga yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Pada malam bertemakan Vice Versa Irama, Raja Syahiran dan 2Twenty2 Squad mendapat kedudukan pertama dengan 93.50 peratus menewaskan lapan peserta lain.
Tambah Syahiran lagi, dia turut bersyukur apabila gurunya, Malique turut menerima sokongan padu daripada peminat walaupun hanya ‘wujud’ menerusi lagu.
“Kami betul-betul fokus nak buat seni, iaitu kami nak menyampaikan mesej. Dengan adanya kerjasama dari pasukan saya, pihak Aswara juga hulurkan bantuan, alhamdulillah kita berjaya,” jelasnya lagi.
Diacarakan oleh Sherry Alhadad dan Hady Mirza, konsert mingguan Dansa Dan Sing ditayangkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam di Astro Ria (104), Ria HD (123).
Ia juga boleh distrim menerusi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!