“Semalam Sekolah, Hari Ini Nikah” - Remaja Perempuan Bergelar Isteri Sehari Selepas Tamat SPM
Tular sepotong video di laman TikTok baru-baru ini mengenai kisah seorang remaja perempuan yang melangsungkan perkahwinan sehari selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kisah remaja perempuan yang dikenali sebagai Zetty Aziz itu telah dikongsikan oleh seorang pengguna laman sosial tersebut @harryzulhairi sehingga meraih jutaan tontonan.
“Semalam pergi sekolah, hari ini pergi kahwin,” tulisnya ringkas pada kapsyen.
undefinedPada video berkenaan, memperlihatkan Zetty pada awalnya berpakaian lengkap baju sekolah sebelum bertukar kepada persalinan baju pengantin bersongket biru selepas dinikahkan pada 16 Mac lalu.
Sementara itu, jurusolek kepada Zetty turut berkongsi beberapa keping gambar selepas menata rias wajah pengantin itu di laman Facebook miliknya.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan balas, rata-rata wargamaya mengucapkan tahniah selain ada yang berseloroh mengatakan jodoh Zetty lebih awal daripada mereka yang lebih berusia.
“Tahniah dik, jodoh awal. Akak yang umur 21 pun tak kahwin lagi,” komen seorang wargamaya.
“Yang mana belum sampai jodoh bawa bersabar. Nikmati hidup single,” ujar seorang warganet.
“Tahniah, selamat pengantin baru, bagus kahwin awal ni,” kongsi seorang netizen.
Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian tersebut menerima lebih dua juta tontonan dan 195,000 tanda suka.