Laman Utama

Semangat Patriotik Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii  & Tabby Dalam Malaysia Di Hatiku

gempak
Fiza Kamarudin
17/08/2021
10:40 MYT
Sponsor Banner
Semangat Patriotik Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii  & Tabby Dalam Malaysia Di Hatiku
Bagi meraikan kecintaan terhadap negara, Kmy Kmo, Luca Sickta, Yonnyboii dan Tabby (Dolla) bersatu menghadiahkan sebuah karya patriotik segar sekali gus menyuntik semangat kekitaan menerusi lagu Malaysia Di Hatiku.
Lagu terbitan Universal Music Malaysia hasil komposisi Nick Ariff, Glow Rush, Mike Chan, Pique, Acap Salim selain Kmy dan Luca itu sudaph pun dilancarkan semalam.
Kmy atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim optimis karya baru ini akan menjadi pilihan terbaru masyarakat pelbagai lapisan umur dalam menyemarakkan rasa cintakan negara.
"Paling utama kita takkan menggadai dan melacurkan negara ini untuk apa tujuan pun. Semoga lagu ini dapat terus menjadi semboyan semangat dan nadi perpaduan buat rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.
"Harap lagu ini dapat menjadi 'national anthem' baru buat kita semua. Saya bangga dapat bergandingan dengan Luca, Yonnyboii dan Tabby kerana ia seperti sebuah kolaborasi adik beradik," katanya.
Sementara itu Luca berkata, antara cabaran menyiapkan Malaysia Di Hatiku ialah apabila terpaksa merakamkan lagu secara berasingan disebabkan situasi sekarang.
"Lagu ini dirakam Jun hingga Julai lalu secara berasingan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.
“Ada yang merakamkan bahagian suara masing-masing di rumah. Macam saya dan Kmy pula di studio rakaman. Namun prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga,” katanya.
Bagi Yonnyboii pula, karya berkenaan sangat unik sekalipun bernuansakan patriotik.
"Bahagian mencabar saya ialah untuk menyanyi korus dan perlu disuai padankan dengan vokal Tabby yang tinggi. Agak bergelut juga untuk meneruskan proses rakaman itu.
"Jadi solusinya vokal saya terpaksa diturunkan 'key'untuk mengimbangi suara Tabby. Tapi lucunya apabila siap hasil akhirnya, rasa macam 'best' pula mendengarkan kombinasi suara kami berempat.
"Pendek kata, padanan suara kami saling melengkapi. Lagu ini memang menarik dan bagai ada lapisan elemen yang cukup mengujakan," katanya.
Satu-satunya bunga dan penyeri untuk kolaborasi ini, Tabby berkata peluang berkenaan sudah lama dinantikan.
Tabby atau nama penuhnya Tabitha Ariel Lam berkata, pembabitannya disifatkan cukup bermakna biarpun projek ini tidak membabitkannya bersama anggota Dolla.
"Saya secara peribadi sudah lama menantikan peluang menyanyikan lagu bergenre kenegaraan atau berwajah Malaysia.
“Apa yang boleh saya katakana kehadiran lagu ini umpama tiupan semangat yang cuba dibangkitkan untuk rakyat Malaysia saat bergelut di era pandemik ini,” katanya.
Video muzik rasmi Malaysia Di Hatiku yang ditayangkan pada hari Malaysia bulan hadapan adalah kolaborasi antara Samsung Malaysia Electronics dan UniversalMusic Malaysia dengan tujuan mengumpulkan semua rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam situasi mencabar ini.
Di samping itu, Samsung Malaysia Electronics juga akan mengendalikan kempen ‘hashtag challenge’ #MalaysiaDiHatiku bermula 20 Ogos ini di pelantar video berdurasi pendek, TikTok, sebagai salah satu inisiatif untuk menyebarkan semangat positif di kalangan rakyat Malaysia.
Malaysia Di Hatiku boleh didengarkan di kesemua pelantar penstriman digital bermula 16 Ogos jam 12 tengah malam manakala lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada hari yang sama.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live