Selepas sembilan tahun menyulam cinta, pelawak popular Jihan Muse dan pelakon Ungku Hariz sah bergelar suami isteri.

Dengan sekali lafaz Jihan bergelar isteri kepada Ungku dalam sebuah majlis pernikahan ringkas di Laman Kayangan, Shah Alam, tepat jam 3.20 petang Ahad.

Jihan atau nama sebenarnya Nur Jihan Musa, 33, dan Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 31, dinikahkan bapa pengantin perempuan, Musa Abdul Aziz bersaksikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki, bapa Ungku Hariz Ungku Mohamed Fadli, adik-beradik dan keluarga terdekat.

Pengantin perempuan menerima RM 300 sebagai mas kahwin dan saling berbalas lima dulang hantaran. Bagaimanapun, pasangan pengantin merahsiakan jumlah wang hantaran.

Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 jemputan yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat pengantin.

Jihan berkata, dia bersyukur dan teruja kerana hubungan yang terjalin sejak 2007 berakhir ke jinjang pelamin pada hari ini.

“Saya bersyukur dan gembira kerana semuanya (majlis) berjalan dengan lancar walaupun persiapan dilakukan pada saat-saat akhir kerana kesibukan kami berdua dengan komitmen kerja.

“Saya berharap perkahwinan akan berkekalan ke akhir hayat kami dan diberkati. Walau kami sudah lama berkawan masih banyak lagi perkara yang perlu kami pelajari selepas berkahwin.

“Kami percaya tolak ansur dan musyawarah sangat penting dalam setiap perkara yang kami lakukan,” katanya.

Pada majlis itu, pasangan pengantin memakai busana rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Saidatul Nisa dan BoscoRyzal.

Sementara itu, majlis resepsi pasangan yang bertemakan klasik rekaan busana dari Man Kajang dan solekan, Deqsha akan diadakan pada 27 Mac ini di Menara NAZA TTDI, Shah Alam.

Teks Oleh: Fiza Kamarudin

Foto Kredit: Instagram Jihan Muse, Project2pi