FILEM
Seminggu Ditayangkan Di Indonesia, Qodrat 2 Kutip 1 Juta Penonton
Filem Qodrat 2 terus mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih 1 juta tontonan di pawagam seluruh Indonesia sejak ditayangkan.
Kejayaan filem arahan Charles Gozali itu ternyata membuktikan ia filem seram tempatan paling laris tahun ini, sekaligus membuktikan genre seram terus mendapat tempat di hati penonton.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata penonton dan warganet meluahkan rasa teruja dan bangga dengan pencapaian tersebut.
Ramai penonton mengakui tersentuh dengan pengisian spiritual dalam Qodrat 2, terutama mesej tentang keinsafan, kepentingan ibadah, dan perjuangan menentang hawa nafsu.
Secara keseluruhan, Qodrat 2 bukan sahaja berjaya memberikan ketegangan dan kejutan seperti yang diharapkan dalam sebuah filem seram, tetapi juga berjaya menyentuh hati dan menyampaikan pengajaran hidup yang mendalam.
Filem terbitan MAGMA Entertainment dan Rapi ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 17 April ini di pawagam seluruh negara.
Must-Watch Video