Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Semoga Allah Gantikan Dengan Nikmat Yang Tak Disangka Sangka Buat Ku & Anak-Anak"- Isteri Hafidz Roshdi

Syafiqah Jalal
23/02/2023 13:24 MYT
Luahan isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, di akaun Instagram peribadi miliknya menjadi tumpuan selepas berita kononnya dia telah diceraikan tersebar hari ini.

Shuhada dalam kemas kini di InstaStory yang dimuat naik siang tadi itu berharap agar dia dan anak-anak digantikan dengan nikmat tanpa disangka-sangka.

"Insya-Allah semoga Allah gantikan dengan nikmat yang tidak disangka sangka buat ku dan anak-anak Amin," tulisnya.

Dalam kemas kini di InstaStory miliknya itu dalam masa yang sama Shuhada memuat naik semula kata-kata mengenai pasangan sejati.

Antaranya mengenai berjumpa dengan pasangan yang tepat dan sempurna.

"The ringt person will know how to hold your love (Orang yang tepat akan tahu bagaimana hendak menjaga cinta yang diberikan)

"The right person will choose you just as deeply as you choose them (Orang yang tepat akan memilih kamu sepertimana kamu memilih mereka)," tulisnya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan berita perceraian Hafidz, 29, daripada sumber yang mereka dapati.

Hafidz didakwa sudah menceraikan isterinya, Nurul Shuhada dengan talak satu dengan bersaksikan keluarga.

Difahamkan juga, isterinya bakal memfailkan perceraian pada 1 Mac ini yang juga jatuh pada tarikh kelahiran Shuhada.

Kemelut rumah tangga Hafidz mula diperkatakan ramai apabila isterinya mendedahkan pelakon itu ada hubungan dengan wanita lain.

Kemudian muncul pula wanita bernama Athira Yuhada yang mengakui Hafidz pernah cuba mendekatinya sejak sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun, Athira mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada Nurul Shuhada kerana sudah mengganggu kebahagiaan rumah tangga mereka.

Namun, Nurul Shuhada dalam perkongsiannya di laman Instagram pula memberitahu dia boleh memaafkan tapi tidak akan melupakan apa yang sudah berlaku.

Untuk rekod, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Nurul Shuhada pada 30 April 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.

#Isteri #Hafidz Roshdi #Anak-Anak #Semoga, Allah, Gantikan, Nikmat,
;