“Semoga Next World Cup Team Malaysia Masuk” - Lelaki Tular Bawa Jalur Gemilang Di Qatar Terharu Sokongan Netizen

Mya Amri
Disember 12, 2022 16:00 MYT

Seorang lelaki yang tular kerana membawa Jalur Gemilang di Stadium Al Thumama semasa perlawanan sengit antara pasukan Portugal dan Morocco berlangsung menyatakan rasa terharu atas sokongan netizen.

Lelaki yang dikenali sebagai Jagjit Singh itu tidak menyangka dirinya menjadi tular dan mendapat maklum balas postif orang ramai.

Melihat kepada respon itu, Jagjit juga mengucapkan terima kasih dan berharap suatu hari nanti pasukan Malaysia pula berjaya melangkah kaki dalam perlawanan Piala Dunia.

“Terima kasih kawan-kawan. Semua bagi mesej cantil-cantik, terharu baca. Semoga Piala Dunia seterusnya pasukan Malaysia masuk dan kita semua boleh berkibar Jalur Gemilang di stadium,” tulisnya menerusi ruangan komen di Facebook.

Terdahulu, tular gambar dan video menunjukkan Jalur Gemilang digantung di antara bendera Maghribi di hadapan tempat duduk penonton yang tidak jauh daripada tiang gol.

Jalur Gemilang itu dapat dilihat setiap kali kamera fokus ke arah tiang gol.

Malah netizen juga tertanya-tanya siapakah gerangan individu membawa bendera Malaysia itu sehinggalah Jagjit memuat naik hantaran yang merakamkan dirinya bersama Jalur Gemilang di stadium berkenaan di akaun Facebook miliknya.

“Jika kamu melihat Jalur Gemilang di belakang tiang gol, itu kerja saya," tulis Jagjit.

#Viral #Tular #Jalur Gemilang #Qatar #Piala Dunia Qatar 2022 #World Cup 2022 #Bendera Malaysia #Jagjit Singh #Jalur Gemilang Di Qatar