Warga net memuji tindakan pantas pengacara popular Datuk Aznil Nawawi membuat laporan polis berhubung sindiket penipuan yang menggunakan namanya untuk promosi sempena hari kemerdekaan.

Difahamkan pihak yang melakukan penipuan tersebut merupakan pekedai menjual barangan eletrik di Sarawak.

Datuk Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil menerusi Instagram (IG) TV memberitahu, dia tiada kaitan dengan pihak tersebut.

Tambahnya, tujuan dia membuat laporan kerana tidak mahu orang ramai tersalah anggap kunjungannya ke bumi kenyalang, semalam (Rabu).

“Saya tidak ada kena-mengena dengan kedai yang menjual alat elektrik itu. Saya mendapat berita ada menggunakan nama Pak Nil tanpa kebenaran.

“Katanya sebuah kedai jual alat elektrik. Mereka akan minta orang lalu-lalang masuk dalam kedai dan buat cabutan bertuah dan ada hadiah percuma yang kononnya akan disampaikan oleh saya dalam sebuah majlis.

"Saya tiada kaitan dengan usaha mereka memerangkap orang yang dirasakan boleh ditipu dan akhirnya menyebabkan wang terbabit dikaut menerusi nombor atau kad bank.

"Saya dimaklumkan bahawa ada cabutan diadakan pada 31 Ogos nanti dan kebetulan saya berada di sini, nanti orang percaya pula memang ada cabutan pada tarikh berkenaan.

"Saya ke Kuching tidak ada kaitan dengan kedai elektrik berkenaan tetapi sebab menghadiri sebuah majlis di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Pak Nil sempat menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan.

"Jadi, berhati-hati dan kalau anda didekati oleh insan penipu ini, tolong buat laporan polis," katanya.