Pelakon Fizo Omar dan Izzue Islam berpesan kepada penduduk di negeri Kelantan supaya lebih berjaga-jaga pada musim tengkujuh ini.

Fizo Omar ketika dihubungi Gempak berkata dia baru sahaja diberitahu oleh keluarga di kampung paras air naik terlalu cepat pada tahun ini.

“Kampung saya di Selising, Pasir Puteh dan kalau nak diikutkan di sana bukanlah kawasan yang terjejas dengan banjir.

“Tapi semalam keluarga di kampung beritahu air sudah mula naik dan hampir memasuki rumah. Saya agak risau sekiranya bencana banjir bersar 2014 berulang atau menjadi lebih teruk,” katanya.

Bagaimanapun kata Fizo, ahli keluarga di sana sudah mula memindahkan kereta ke tempat yang lebih selamat.

*Keadaan rumah yang ditenggelami air di Kampung Chucoh Puteri - Gambar Sinar Harian*

“Perkembangan terbaru, mereka beritahu keadaan di Selising masih terkawal, tetapi sudah mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal dengan memindahkan kenderaan ke rumah saudara yang lebih selamat.

“Begitu juga dengan barang-barang dalam rumah,” ujarnya.

Berbeza dengan Izzue Islam yang berasal dari Badak Mati, Kota Bharu yang memberitahu kawasan tersebut tidak pernah terjejas dengan banjir.

“Ya, walaupun tidak terjejas tetapi saya tetap risaukan keadaan mereka di sana. Maklumlah sekarang ini musim tengkujuh agak berisiko untuk aktiviti luar rumah.

“Di kampung saya, selalunya pada musim banjir air akan naik tetapi hanya di paras buku lali, mungkin kerana kawasan tersebut lebih tinggi berbanding tempat lain,” katanya.

*Keadaan Kampung Chucoh Puteri *

Setakat ini, menurut laporan media kawasan terjejas teruk akibat banjir tahun ini ialah Kampung Chucoh Puteri yang dinaiki air sejak jam 5 petang, Ahad.

Sebanyak 20 keluarga di Kampung Chucoh Puteri yang terperangkap dalam banjir dan arus deras sejak petang semalam berjaya diselamatkan pasukan penyelamat.

Semua keluarga berkenaan diselamatkan jam 7 malam tadi dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chuchoh Puteri.

Mengikuti perkembangan tersebut Fizo dan Izzue berpesan kepada penduduk di Kelantan supaya lebih berjaga-jaga dan peka dengan keadaan semasa.

“Walaupun kawasan anda bukan kawasan yang terjejas teruk, tetapi tolonglah peka dengan keadaan sekeliling.

“Kalau boleh janganlah buat aktiviti luar atau berseronok berlebihan bermain hujan atau sebagainya. Seronok memanglah seronok, tetapi fikirkan risiko nyawa anda,” kata Fizo dan Izzue.