Laman Utama

“Semoga Selesai Dengan Adil Untuk Adik Bella” – Reaksi Warganet Selepas Pemilik Rumah Bonda Ditahan Polis

gempak
Fiza Kamarudin
16/07/2021
05:15 MYT
Sponsor Banner
“Semoga Selesai Dengan Adil Untuk Adik Bella” – Reaksi Warganet Selepas Pemilik Rumah Bonda Ditahan Polis
“Alhmdulillah tunggulah…Semoga selesai semoga selesai dengan adil untuk adik Bella.”
“#justiceforbella kawan, kita sebarkan isu Bella ini agar bukan hanya untuk siasatan, tetapi pelaku-pelakunya ditangkap dan dipenjara! Jangan sekadar tahan dan lepas pulak... InsyaAllah, semoga adik Bella mendapat pembelaan yang adil!”
Itu antara reaksi warganet selepas media melaporkan berita mengenai pemilik Rumah Bonda yang telah ditahan pihak polis semalam.
Pemilik yang juga seorang wanita, ditahan polis bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Harian Metro melaporkan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, wanita berusia 29 tahun itu ditahan 10.30 pagi semalam.
Katanya, dia ditahan selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.
"Kertas siasatan baharu telah dibuka dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506, Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah," katanya.
Menurutnya, polis mengemukakan permohonan reman ke atas wanita itu pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
"Masyarakat perlu memahami, kita perlu ambil kira banyak aspek perundangan ketika jalankan siasatan, termasuk hak undang-undang serta keselamatan semua pihak yang terlibat termasuk situasi semasa.
"Sehubungan itu, kita minta masyarakat untuk terus beri keyakinan kepada pasukan penyiasat PDRM untuk melaksanakan tugas mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.
Rumah kebajikan terletak di Jalan Kukuban di Taman Setapak di sini turut dikenakan sita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.
Lanjutan itu Pelindung Unit Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan itu.
Rumah kebajikan ini juga didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM
Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.
Bella kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024