Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri berkongsi perbualannya bersama Allahyarhamah Siti Sarah Raissudin sewaktu sebelum hari raya Aidiladha bagi urusan program korban.

Menurut Nadir, Siti Sarah mahu mengikuti satu program korban di Gaza dan mahu mengorbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu.

Tersentap dengan pemergian Sarah, Nadir berkongsi perbualan terakhirnya bersama pelantun lagu Kesetiaan itu untuk tatapan umum.

“Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban kami di Gaza.

“Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir,” ujar Nadir menerusi satu ciapan.

Malah menerusi perbualan itu lagi, Siti Sarah memaklumkan dia mahu melakukan ibadah korban ini secara diam-diam tanpa sebarang publisiti.

Tambah Nadir lagi, perbualan mereka tidak terhenti di situ kerana Sarah kerap bertanya tentang keadaan masyarakat yang berada di Palestin.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging korban.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada' akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, Al-Fatihah,” tulis Nadir lagi.

Sementara itu di ruangan komen, ramai wargamaya meluahkan rasa sebak merek

Allahuakbar, sempat arwah buat korban tahun nie. Semoga arwah di tempatkn bersama org² beriman. Amin,” kata seorang wargamaya.

Allahuakbar.. Arwah sempat beramal ibadah dengan membuat ibadah qurban untuk Gaza... Semoga amalan arwah diterima dan roh arwah ditempatkan bersama golongan orang-orang yang soleh dan beriman... Amin YRA,” ujar seorang wargamaya.

Islam mengajar kita berbuat amal kebajikan tapi jangan sampai tangan kiri tahu. Selepas arwah pergi baru kita tahu. Tapi masa hidup tidak ada seorang pun yang tahu. Beliau artis terkenal spatutnya ramai media akan buat liputan tapi bukan publisiti yang beliau inginkn tapi redha yang dharapkan,” tulis seorang wargamaya.

Orang yang baik-baik ini, InshaAllah selepas kematiannya cerita yang baik-baik juga akan keluar… moga perkongsian En. Nadir menjadi asbab org ramai mendoakan arwah Siti Sarah di sana!” luah seorang wargamaya.

Kematian yang dicemburui. Syahid dalam wabak. Gugurnya dosa selepas bersalin. Dalam redha suami. Dan kebaikan yang disebut sebut penghuni bumi. Moga seluruh penghuni penghuni langit berlumba lumba menjemputmu. Dari Allah kita semua datang. Pada Dia kita semua akan kembali,” doa seorang wargamaya.

Masya-Allah hebatnya arwah Siti Sarah. Innalillah wainna ilaihi rajiuun..Semoga Allah tempatkam beliau bersama para solihin dan syurga buatnya,” kata seorang wargamaya lagi.

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi ini.

Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.