Dunia muzik Hollywood menyambut khabar duka apabila salah seorang anggota kumpulan popular Il Divo, Calros Marin dilaporkan meninggal dunia.

Marin menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun di sebuah hospital di Manchester, kata kenyataan yang dikeluarkan kumpulan tersebut, lapor The Guardian.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Twitter: “Dengan rasa berat hati kami ingin menyampaikan khabar duka bahawa sahabat dan rakan seperjuangan kami, Carlos Marin telah meninggal dunia.”

Bagaimanapun, punca kematian Marin tidak didedahkan, namun laporan media Sepanyol sempat mendakwa penyanyi itu telah ditidurkan selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Manchester Royal Medical Center di England beberapa hari lalu.

Kumpulan yang dianggotai David Miller, Sébastien Izambard dan Urs Bühler itu diketahui telah menunda konsert jelajah mereka di United Kingdom yang dijadualkan bulan ini atas alasan masalah kesihatan.

“Kami telah bersamanya selama 17 tahun mengharungi perjuagan dan turun naik Il Divo. Kami akan merindui kamu sahabat. Dan tentunya kamu juga akan dirindu oleh keluarga dan rakan lain,” tulis kenyataan itu lagi pada Ahad.

Il Divo adalah sebuah kumpulan muzik genre klasikal yang ditubuhkan oleh Simon Cowell pada tahun 2003 di bawah label SyCo Record.

Kredit Foto: Getty Images