Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sempena Istiadat Pertabalan Agong, 14 Laluan Di KL Ditutup Pada Sabtu

Asyikin Mayudin
18/07/2024 03:55 MYT
Sebanyak 14 jalan di sekitar ibu negara bakal ditutup secara berperingkat sempena acara Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, 14 jalan ditutup sementara bermula pukul 8 pagi untuk acara Istiadat Pertabalan dan pukul 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.

“Jalan yang terlibat adalah Jalan Tun Razak, Jalan Kia Peng, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail Lebuhraya Sultan lskandar, Jalan Tuanku Abdul Halim, Jalan Semantan, Jalan Damansara, Jalan Istana Kuala Lumpur-Seremban Expressway, Jalan Kuching (arah Selatan), Bulatan Dato Onn dan Jalan Parlimen.

“Penutupan jalan adalah untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan tersebut dan tiba mengikut masa yang telah ditetapkan seterusnya akan dibuka semula selepas melalui laluan berkenaan.

“Seramai 387 pegawai kanan serta pegawai rendah dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ditempatkan bagi melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu lintas, menguatkuasakan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk tidak melalui laluan yang terlibat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengikuti arahan anggota polis trafik yang bertugas di lokasi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT KUala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran,” pesannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

#Pertabalan Agong #Istiadat Pertabalan Agong #Laluan KL Ditutup