Hiburan
“Semua Adalah Rezeki” - Amira Othman Jawab Dakwaan 'Menunggang' Populariti Fattah Amin
Penyanyi Amira Othman mengakui dirinya kurang senang apabila netizen mendakwa dia seperti menunggang populariti Fattah Amin baru-baru ini.
Jelas Amira, atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, dia menganggap perkara itu sebagai salah satu rezeki yang telah tertulis untuk dirinya.
“Saya kurang faham dengan definisi ‘menunggang’ ini. Bagi saya, semua ini adalah rezeki. Apa yang pasti, segala yang terjadi dan tersusun ini adalah ketetapan Allah.
“Saya juga merasakan perkataan ‘menunggang’ kurang sesuai digunakan. Ini kerana jika sudah tertulis rezeki, macam-macam perkara boleh berlaku,” katanya kepada Gempak.
Amira berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman duta Jakel Raya di Jakel Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Hati-Hati itu turut menyatakan setiap pilihan yang dibuat membawa keputusan tertentu, sama ada kebaikan atau keburukan.
Bagaimanapun, Amira turut mengakui dirinya bersedia menerima kritikan susulan tindakannya mencetuskan gimik bersama Fattah Amin.
“Apa sahaja pilihan, sama ada mahu mencetuskan kontroversi atau tidak, pasti ada kebaikan serta keburukan, termasuk membabitkan gimik untuk projek video muzik saya tempoh hari,” jelasnya.
Terdahulu, Amira Othman sebelum ini berkongsi video rangkuman 2024 memperlihatkan seorang lelaki bertopi dan memakai cermin mata hitam.
Susulan hantaran tersebut, rata-rata netizen tertanya-tanya tentang identiti lelaki itu dan ada juga yang mendakwa bahawa individu berikut merupakan Fattah Amin.