Berita
"Semua Anak Saya Arwah Yang Sambut" - Memey Suhaiza Sedih Doktor Kesayangan Meninggal Dunia
Pelakon Memey Suhaiza berkongsi khabar duka pagi ini dengan berita kematian doktor kesayangannya, Dr. Zarina Bibi yang banyak berjasa kepadanya.
Menurut Memey, doktor tersebutlah merupakan individu yang menyambut kelahiran kesemua anaknya setiap kali bersalin.
"Assalammualaikum. Saya mulakan update pagi ni dengan berita ni. Doktor kesayangan saya dah meninggal.
"Semua anak saya arwah Dr. Zarina yang sambut, yang jaga setiap condition (keadaan) sepanjang saya mengandung," katanya menerusi satu entri di Instagram.
Dalam entri tersebut, isteri kepada pelakon Norman Hakim itu turut memuat naik gambar kenangan dirinya bersama arwah.
Bahkan, katanya, sekalipun doktor tersebut berpindah lokasi bertugas, dia tetap akan pergi mendapatkan khidmat di hospital berkenaan.
"Suami sanggup ikut hospital mana pun yang Dr Zarina bertugas sebab dah rasa selesa dijaga kita macam anak.
"Mengenalinya seorang yang sangat baik, sentiasa lemah lembut, tenang selalu. Apapun masalah dalam bilik bersalin, Dr Zarina sentiasa tenang, buat kita rasa sentiasa selesa, tak risau," katanya yang turut melayangkan salam takziah kepada keluarga arwah.
Di ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut mengakui terkejut dengan berita pemergian doktor tersebut.
Bahkan, ramai juga yang berkongsi pengalaman ketika menggunakan khidmat doktor yang sama ketika bersalin.
"Alfatihah. Dr Zarina jugalah yang sambut kelahiran anak kedua saya, menjaga saya seperti seorang anak sepanjang kehamilan.
"Doktor ni juga jaga dari mengandung hingga bersalin dua anak saya. Sesungguhnya kami menjadi saksi atas kebajikan beliau pada manusia-manusia lain.
"Lima orang anak saya disambut arwah Dr. Zarina," komen sebahagian pengikutnya.
Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi, 32, mendirikan rumah tangga dengan Norman pada September 2011.
Pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 7, Muhammad Dikhriz Hakim, 5 dan Mikayla Delisha Hakim, berusia dua tahun.