Laman Utama
Semua Kereta Zainal Abidin Tenggelam, Rumah Banjir: “Yang Terburuk Itu Adakalanya Yang Terbaik”
Bencana banjir yang melanda Selangor, khususnya di sekitar kawasan Sri Muda, Shah Alam rupa rupanya turut memberi impak kepada pesohor Datuk Zainal Abidin apabila menjadi salah seorang mangsa bah tersebut.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan dalam Instagramnya semalam, pelantun Hijau itu mendedahkan kenderaan miliknya rosak teruk dan separuh kediaman yang terletak di sekitar Sri Muda turut ditenggelami air.
Meski turut terkena bencana yang tidak diduga tersebut, Zainal tetap bersyukur kerana tidak mengalami kerugian dan kerosakkan seperti mangsa banjir lain.
“Rumah saya tidaklah teruk rosak, sedikit harta benda di bahagian bawah, semua kereta kereta saya ditenggelami air. Tapi oleh kerana saya mempunyai sahabat dan kaum keluarga, jiran yang baik dan banyak membantu.
Ini adalah ujian Allah, Allah sayang kita, Allah uji kita. Kita haruslah tabah dan bertawakal kepada Allah,” ujar Zainal tenang.
Sambil berterima kasih kepada keluarga, sahabat, jiran, agensi kerajaan dan pihak persendirian yang membantunya, Zainal tetap bersyukur dan menerima ujian Allah dengan tenang.
“Insya Allah yang terburuk adakalanya akan bertukar menjadi yang terbaik,” katanya mengakhiri video tersebut seperti ditonton Gempak.
Sementara itu, Zainal yang menetap di Shah Alam bersama isteri dan anaknya dalam satu temubual bersama media mengaku tidak mahu ada pihak menganggap pendedahan mengenai dirinya juga menjadi mangsa banjir disalah erti atau cuba meraih simpati.
Hal itu lantaran beliau berpendapat ramai mangsa lain yang mengalami kerosakan harta benda yang lebih parah berbanding dirinya.
Untuk rekod, Zainal bukan satu satunya karyawan hiburan yang turut menjadi mangsa banjir.
Salah seorang karyawan hiburan yang menjadi mangsa banjir dengan kehilangan rumah yang dalam pembikinan sehingga kerugian sekitar RM200,000 adalah Ebby Yus.
Kredit Foto: NST
Must-Watch Video