Penyanyi dan pelakon Adibah Noor menempelak kenyataan penerbit drama dan filem Datuk A. Aida yang memilih rupa berbanding bakat dalam satu ujibakat baru-baru ini.

Akui Adibah, sememangnya sifat manusia suka melihat subjek yang cantik namun tidak adil bagi individu yang betul-betul berbakat dan meletakkan harapan tinggi ketika sesi ujibakat.

"Menjadi lumrah manusia suka tengok benda yang elok tetapi kalau sesuatu ujibakat itu mengatakan kalau tak ada rupa jangan harap nak dapat, saya rasa itu tidak adil.

"Sebab yang datang itu penuh dengan harapan. Kalau betul tak berbakat cakap elok-elok, boleh cuba benda lain.

"Sebagai seorang produser atau penggiat filem, anda seharusnya mencari seseorang yang berbakat sebab namanya ujibakat. bukan uji elok!

"Sekiranya orang itu berbakat, awaklah yang kena 'groom'," katanya kepada HLive.

Nasihat Adibah, jangan sesekali merasa rendah diri untuk mencuba nasib menerusi sesi ujibakat.

"Tepuk dada tanya selera. Kalau benchmark awak setakat itu, tak apa cuba saja.

"Bukan sekelip mata terus popular. Semua orang bermula dari longkang, walau ada kenyataan sebegitu tak mengapa sekurang-kurangnya anda telah mencuba.

"Saya pasti bukan orang itu saja yang melihat bakat awak, ada banyak lagi juri lain, jangan takut," tambahnya.

Untuk berita hiburan yang padat dengan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).