Hiburan
"Semua Pelakon Mesti Nak, Saya Anggap Ini Rezeki Saya" - Beto Kusyairy
Pelakon berbakat, Beto Kusyairy menganggap peluang untuk menerajui drama bersiri Sembilan sebagai pelakon utama sebagai satu tawaran yang tidak harus dilepaskan.
Bekerjasama dengan nama-nama besar, Beto memegang watak sebagai seorang jejaka bernama Azim.
"Saya dah biasa bekerja dengan pengarah drama bersiri ini, Razaisyam Rashid. Saya sudah tahu apa yang dia mahukan, jadi kalau mahu bercakap dari sudut keselesaan, memang tiada masalah.
"Skrip untuk karya ini juga bagus kerana ia dihasilkan oleh Salman Aristo. Sebelum ini, Salman memang terkenal kerana pernag menulis karya hebat seperti Ayat-Ayat Cinta, Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Sang Penari dan banyak lagi.
"Sebagai pelakon, siapa yang tak mahu bekerja dengan orang yang sehebat Salman? Semua pelakon mesti nak, jadi saya anggap tawaran ini sebagai rezeki saya," katanya.
Drama mini bersiri 10 episod ini mengangkat genre seram dan ia merupakan sebuah lagi naskah premium eksklusif yang menyaksikan kolaborasi nusantara antara Malaysia dan Indonesia di bawah payung penjenamaan Astro Original Series.
Sesi penggambaran memgambil masa lebih kurang 75 hari dan baru sahaja selesai baru-baru ini.
Antara lokasi utama penggambaran dijalankan di Malaysia iaitu Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), sekitar Kuala Lumpur dan Studio Pinewood Iskandar (Johor Bahru).
Selain Beto, karya ini menampilkan lakonan hebat pelakon Malaysia dan Indonesia seperti Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Azhan Rani, Luqman Hafidz, Amir Nafis, Sara Ali dan ramai lagi.
Drama ‘Sembilan’ ini juga dijangka menemui penonton secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) pada bulan Februari 2019.
Must-Watch Video