Semua penduduk di Lembah Klang dijangka mendapat sekurang-kurangnya dos pertama suntikan vaksin COVID-19 awal bulan depan dan dos lengkap menjelang hujung bulan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ia merupakan perancangan semasa kerajaan dengan mengambil contoh kejayaan kesihatan awam termasuk proses vaksinasi di Labuan.

"Merujuk kepada kejayaan tindakan kesihatan awam dan vaksinasi di Labuan, kes jangkitan baharu dilihat menurun kepada 26 kes hari ini berbanding 1,340 kes sebelum ini. Ini menunjukkan keberkesanan vaksinasi walaupun jangkitan adalah daripada varian Delta.

“Dalam masa dua minggu pelaksanaan tindakan kesihatan dan vaksinasi di Labuan, penerima dos pertama adalah 87 peratus manakala 52 peratus telah lengkap menerima dua suntikan. Apabila penerima vaksinasi mencecah lebih daripada 52 peratus, kita dapati kes baharu COVID-19 di Labuan menurun," katanya pada sidang media khas Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata keberkesanan tindakan kesihatan awam dan peningkatan jumlah penerima vaksin itu dapat mencegah penularan varian Delta yang menular di Labuan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba mengesahkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech akan digunakan di pusat pemberian vaksin (PPV) di Kelantan bagi menggantikan vaksin jenis Sinovac bermula bulan depan.

"Sebenarnya bukan di Kelantan sahaja malah akan diperluas ke seluruh negara memandangkan kita (kerajaan) telah menempah 45.7 juta dos Pfizer-BioNTech berbanding 16 juta dos Sinovac," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan penamatan pengagihan vaksin jenis Sinovac di semua PPV di Kelantan memandangkan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) hanya akan membekalkan vaksin jenis Pfizer ke semua PPV di negeri itu.