Konsert Exists Reunion yang berlangsung pada malam ini bakal menjanjikan persembahan terbaik untuk semua peminat dan penggemar muzik mereka.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, Konsert Exists Reunion ini menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalist iaitu Mamat dan Ezad.

"Dari segi susunan lagu, ia dilakukan dengan teliti kerana Konsert Exists Reunion mempunyai dua vokalis. Kami memilih lagu yang sesuai.

"Apa yang penting, lagu terbabit popular dan mesra di telinga peminat. Semuanya lagu 'sing along' yang dipilih dan ia menampilkan seleksi lagu-lagu hits dari album pertama sehingga sekarang," kata Along mewakili Exists Reunion.

Tambah Ajai pula, mereka akan mempersembahkan sesuatu yang berbeza dan menjadi kejutan untuk peminat.

"Semestinya kami akan menampilkan kombinasi terbaik sepanjang durasi konsert. Exists Reunion akan menampilkan sesuatu yang segar, bertenaga dan baru serta belum pernah dilihat oleh peminat.

"Kami berharap peminat Exists dapat menghadirkan diri. Bukan mudah untuk mengumpulkan semua anggota asal Exists dan mengadakan reunion seperti ini," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket Konsert Exists Reunion anjuran Shiraz Projects ini boleh melayari laman web www.mytiket.asia.

Tiket dijual pada harga RM700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.