Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sengaja Mengaibkan Dengan Niat, Polis Cari 4 Individu Persenda OKU

Fiza Kamarudin
10/12/2021 00:30 MYT
Empat individu mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi aplikasi media sosial, dicari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita semasa berada di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Kesemua suspek sedang dikesan berdasarkan maklumat yang disalurkan.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

"Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian.

"Tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206," katanya menerusi sebuah kenyataan.

Menurut Beh Eng Lai, pengadu menonton dua klip video yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok yang mempersendakan OKU dan menyalahgunakan kemudahan OKU.

Video pertama membabitkan dua lelaki yang mengajuk perbuatan OKU di tempat letak kereta OKU di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dengan menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan.

Video kedua pula mengenai dua wanita yang menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak yang mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa.

Tambah beliau lagi, pengadu membuat laporan polis untuk siasatan lanjut kerana beranggapan semua individu itu menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan dan menggunakan warga OKU sebagai bahan menarik perhatian pengguna di media sosial.
#Viral #Polis #Persenda OKU
;