Hiburan
"Seni, Sejarah & Inspirasi Filem Terdahulu" - Pengkritik Filem Hassan Abd Muthalib Bincang Maksud Tersirat Dalam Manap Karaoke
Filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid iaitu Manap Karaoke telah mendapat sambutan hangat dari para penonton sejak hari pertama ditayangkan menerusi Astro First, saluran 480 pada 7 Mei lalu.
Menariknya, filem ini bukan sekadar membuat penonton bergelak ketawa, malah ia juga mengandungi pelbagai maksud yang tersirat.
Menerusi laman Facebook, pengkritik filem Hassan Abd Muthalib tampil mengulas beberapa elemen penting berkaitan kesenian, sejarah dan inspirasi filem terdahulu yang terkandung dalam filem ini.
Dari aspek kesenian, Hassan berpendapat, Mamat Khalid banyak memaparkan cerminan sifat dan pe'el manusia. Sebagai contoh, watak Rauf Bogiba yang dibawa Pekin Ibrahim ada menampar teman wanitanya dalam sebuah babak. Kejadian ini menggambarkan sifat keji manusia yang pernah terjadi dalam industri filem dan lain-lain bidang.
Selain itu, watak Rauf juga menunjukkan sifat manusia yang merosakkan usaha orang lain bersama kroni tersendiri.
Seperti filem-filem terdahulu, Mamat Khalid sering mengetengahkan unsur sejarah. Hassan mengulas tentang beberapa babak dan watak dalam Manap Karaoke yang membawa maksud tersendiri dari segi sejarah.
Salah satu babak dalam filem ini ada menampilkan gambaran rupa pawagam P Ramlee yang begitu daif dan tidak pernah menayangkan filem P Ramlee walaupun sekali.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan Hassan adalah keagamaan dimana kisah Nabi Musa A.S turut diterapkan. Selain itu, poster-poster penyanyi terkenal era terdahulu turut kelihatan dalam filem ini bagi menyanjungi keunggulan mereka.
"Hampir kesemua filem Mamat mengambil referensi daripada filem-filem tempatan dan juga dari luar negara," tulis Hassan.
Membincangkan soal inspirasi, Hassan yakin karya seseorang tidak datang seratus peratus dari idea sendiri kerana kebanyakkan penggiat filem selalunya mengambil inspirasi daripada hasil karya sebelumnya.
Antara sumber inspirasi yang dibincangkan adalah daripada filem Star Wars, Grease, Jogho, Mukhsin dan sebagainya.
Selain mengkritik filem, Hassan juga merupakan seorang animator, pelukis, pengarah filem dan penulis.
Hassan mula bergiat dalam bidang seni pada sekitar tahun 1964 dan masih aktif sehingga kini.
Bagi anda yang masih belum menonton Manap Karaoke, filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Manap yang membuka perniagaan karaoke bergerak.
Namun, perjalanan Manap tidak semudah yang disangka kerana pelbagai cabaran dan dugaan akan dihadapinya.
Apa yang pasti, terdapat banyak kisah lucu menanti anda dalam filem ini.
Manap Karaoke menampilkan barisan pelakon hebat seperti Joey Daud, Ropie, Pekin Ibrahim, Mona Allen dan ramai lagi. Jangan lupa untuk mendapatkannya di Astro First, saluran 480 sekarang!
Must-Watch Video