Laman Utama

Seniwati Mimi Loma Meninggal Dunia - "Pukul 2 Pagi, Tangan & Kakinya Sejuk..."

gempak
Amri Hassan
21/08/2021
02:40 MYT
Sponsor Banner
Seniwati Mimi Loma Meninggal Dunia - "Pukul 2 Pagi, Tangan & Kakinya Sejuk..."
Pelakon veteran Seniwati Mimi Loma telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Semarak Kuala Lumpur sekitar pukul 2.20 pagi tadi.
Kata anak tunggalnya, Sherina Othman, 48, Allahyarham yang berusia 75 tahun itu tidak mengalami sakit tenat tetapi hanya cirit-birit dan kurang selera makan sejak beberapa hari lalu.
"Saya sentiasa memantau pemakanan dan memberinya ubat agar sakit tidak melarat. Kelmarin, arwah agak lemah dan sukar melelapkan mata. Apabila diberikan susu, arwah muntah dan cirit birit semula," ujarnya kepada Kosmo!.
Sherina berkata, dia tidak terfikir akan pergi buat selama-lamanya hari ini kerana menyangkakan ibunya kepenatan disebabkan tidak sihat.
"Sekitar pukul 2 pagi, tangan serta kakinya mula sejuk dan pernafasan menjadi perlahan. Saya tidak sedap hati dan memanggil jiran dan rakan. Ketika memeriksa pernafasan sekitar pukul 2.10 pagi, arwah masih bernafas.
"Kemudiannya, terus senyap. Arwah pergi dengan tenang di hadapan saya dan keluarga. Alhamdulillah, kami sempat mengajar arwah mengucap ketika sedang nazak," katanya.
Sementara itu, anak saudaranya yang juga anak kepada Allahyarham Seniwati Mariani iaitu penyanyi dan juga pelakon, Rozita Rohaizad turut berkongsi berita duka itu di Instagramnya.
"Pukul 4 petang tadi (semalam) dapat jumpa aunty Mimi. Beliau tidak sihat. Saya sempat cium dan bermaafan.
"Saya masuk tidur pada pukul 12 tengah malam tapi terbangun satu jam kemudian. Asyik terbayangkan aunty Mimi," ujarnya.
Bagaimanapun, sekitar pukul 2.20 pagi, Rozita menerima panggilan telefon memaklumkan ibu saudaranya itu telah meninggal dunia.
Menurut Rozita, jenazah Allahyarham Mimi Loma atau nama sebenarnya Aminah Ismail telah dibawa ke Surau Al-Husna berdekatan PPR Semarak sekitar pukul 8 pagi tadi untuk urusan menguruskan jenazah.
Sejurus selepas itu, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Batu Caves, Selangor.
"Semoga Allah SWT menerima amalannya. Maafkan dosa-dosanya dan tempatkan roh Hajjah Aminah binti Ismail bersama insan beriman yang mulia. Amin," tambah Rozita.
Allahyarham Mimi Loma merupakan adik kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarhamah Seniwati Mariani Ismail.
Mimi Loma aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968. Allahyarhamah meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live